GILA GAJET II


Oh Gasak! ( Gosip Hiburan Terkini )

Carian dalam blog ini

Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Politik. Papar semua catatan

Khamis, 25 September 2014

PRK DUN PENGKALAN KUBOR,Keputusan Tidak Rasmi BN Menang

TUMPAT: Barisan Nasional (BN) menang Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor menurut keputusan tidak rasmi. 

Dalam keputusan itu calon BN Mat Razi Mat Ail menewaskan pesaingnya daripada PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dengan majoriti lebih 1,000. 

Pada PRU-13, BN menang dengan majoriti 1,736 undi. 

Pilihan raya kali ini mencatatkan 73 peratus pengundi keluar membuang undi. 

Pengumuman keputusan rasmi dijangka akan dibuat kira-kira pukul 9 malam. 

PRK Pengkalan Kubor menyaksikan pertandingan tiga penjuru di antara Mat Razi, Wan Rosdi dan calon Bebas Izat Bukhary Izat Ismail. Ia diadakan ekoran kematian Datuk Noor Zahidi Omar akibat kanser hati 20 Ogos lalu. 


Sumber mStar Online

Read more...

Isnin, 22 September 2014

Terkini ! Azmin Ali MB Selangor Yang Baharu? - Sumber

Azmin Ali

PETALING JAYA: Sumber terdekat kepada Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Azmin Ali mengesahkan beliau akan dilantik sebagai Menteri Besar Selangor yang baharu.

“Inshaallah. Pengumuman rasmi akan dibuat dalam masa terdekat," kata sumber tersebut pada Isnin ketika ditanya mengenai pelantikan menteri besar yang baharu.

Azmin dijangka mengangkat sumpah di Istana Alam Shah pada pukul 10 pagi Selasa dan akan mengadakan sidang media pertamanya sebagai menteri besar selepas selesai upacara tersebut.

Difahamkan Azmin sedang bertemu dengan penasihat PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail yang menjadi calon tunggal parti itu untuk mengisi kerusi panas tersebut.


Istana dijangka membuat pengumuman rasmi pada Isnin, namun surat pelantikan akan dihantar.

Sejak beberapa minggu lalu, PKR tetap dengan pendirian untuk menamakan Wan Azizah sebagai calon tunggal untuk jawatan tersebut walaupun Istana meminta lebih daripada dua nama calon untuk dipertimbangkan. 

Difahamkan Sultan telah membuat keputusan selepas "menemu duga" Azmin, Adun Chempaka, Iskandar Samad dan Adun Sijangkang, Dr Ahmad Yunus Hairi secara berasingan.

Iskandar dan Dr Ahmad Yunus dari PAS, dan kedua-duanya juga merupakan exco kerajaan negeri.

Namun, Azmin merupakan pilihan Sultan selepas tempoh menemu duga beliau mengambil masa yang lebih lama berbanding dua calon lain kerana PAS bersetuju jawatan menteri besar di negeri itu milik PKR.


Sumber mStar Online


Read more...

Sabtu, 20 September 2014

TERSALAH SEBUT NAMA PRESIDEN CHINA PENYAMPAI BERITA DIPECAT

Presiden China berjabat tangan Perdana Menteri India
Menyebut nama pemimpin asing mungkin memeningkan kepala penyampai berita di seluruh dunia.
Hari ini ia mengakibatkan seorang penyampai berita di India hilang pekerjaan, yang menyangka nama Presiden China Xi Jinping, yang sedang dalam lawatan ke India sebagai angka Roman XI, dan menyebutnya sebagai 'Eleven Jinping' di udara.
Kesilapan itu berlaku malam tadi dalam laporan stesen televisyen Doordarshan mengenai lawatan berprofil tinggi pertama Presiden Jinping ke India.
Laman berita tempatan Quartz memetik Ketua Eksekutif Doordarshan Jawahar Sircar sebagai berkata penyampai berita itu dipecat dan langkah diambil bagi mengelakkan kejadian seperti itu daripada berulang.
"Kami sudah mengambil langkah untuk mengelakkannya dan meningkatkan sistem yang ada ," kata Sircar dalam Tweeternya.
Kesilapan itu memalukan kerajaan Perdana Menteri baharu India, Narendra Modi, yang menyambut Presiden Jinping dengan permaidani merah dan meraikan hari jadinya yang ke-64 sebagai hos pada majlis makan malam untuk pemimpin China itu di sebuah khemah tepi sungai di Ahamedabad. 
- AFP

Read more...

PAS Nafi Anjur Konsert Abby Abadi, Aishah Di Pengkalan Kubor

PENGKALAN KUBOR: PAS menafikan dakwaan bahawa parti itu bakal mengadakan konsert di Pengkalan Kubor sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) tersebut seperti yang tertera pada poster 'Konsert Amal Darul Naim'.
Timbalan Pengarah Jawatankuasa Operasi Pilihan Raya Kecil (PRK) Pengkalan Kubor, Mohd Zaki Ibrahim berkata, poster yang telah tersebar di laman sosial itu mendakwa PAS akan mengadakan konsert amal pada malam 20 September bertempat di Sekolah Menegah Kebangsaan (SMK) Geting, di sini.
"Ramai di kalangan ahli kita yang menerima poster menggunakan lambang PAS, kononnya PAS anjur konsert amal menampilkan penyanyi seperti Abby Abadi, Dayangku Intan dan Aishah malam Sabtu (esok) melalui WatsApp dan Facebook. Saya sendiri terima mesej itu.
"Kita tidak pernah menganjurkan acara seperti itu dan meminta supaya orang ramai tidak mudah terpedaya dengan kempen berniat jahat seperti ini," katanya ketika dihubungi mStar Online, Jumaat.
Beliau berkata poster tersebut disedari tersebar di media sosial kira-kira dua hari lalu.
"Poster itu menunjukkan kononnya PAS menjemput penyanyi Abby Abadi, Dayangku Intan dan Aishah untuk konsert amal," katanya.
mStar Default Image
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kelaboran mendakwa perbuatan tersebut dilakukan oleh musuh politik mereka iaitu iaitu Barisan Nasional (BN).
Dakwanya, BN sengaja menyebarkan poster tersebut sebagai dakyah untuk memburukkan PAS kerana parti itu bakal menganjurkan forum perdana pada malam Sabtu (20 September) di lokasi sama.
Forum agama tersebut menampilkan penceramah terkenal Ustaz Kazim Elias.
"BN ada program agama di SMK Geting, tetapi kononnya PAS anjur konsert. Mustahil PAS boleh 'masuk' buat majlis di sekolah di bawah kerajaan Persekutuan.
"Mereka seolah-olah mahu orang ramai buat perbandingan bahawa BN anjur majlis keagamaan untuk berkempen tetapi PAS anjur majlis hiburan," jelasnya.
Bagaimanapun, beliau berkata, PAS tidak berhasrat mengambil tindakan selagi tiada poster dicetak atau digantung di mana-mana kawasan di Pengkalan Kubor.
Sementara itu, petugas di Markas BN Pengkalan Kubor ketika dihubungi mengesahkan bahawa forum perdana akan diadakan di SMK Geting pada malam Sabtu.
Sumber mStar Online

Read more...

Isnin, 15 September 2014

Mohd Lotfi Rakyat Malaysia Ketiga Terbunuh Di Syria

Mohd Lofti (kiri) mengakui berjuang untuk pergerakan Ajnad As Syam.

PETALING JAYA: Bekas tahanan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA), Mohd Lofti Ariffin menjadi rakyat Malaysia ketiga terkorban di Syria.

Menurut sumber, Mohd Lofti,46, dari Kuala Ketil, Kedah  mengalami kecederaan di lengan dan kepala ketika pengeboman dilancarkan di pusat militan di Timur Hama pada pagi Selasa lalu.

Berikutan kecederaan itu, Mohd Lofti yang berjuang untuk pergerakan Ajnad As Syam dihantar ke hospital di Hatay, Turki.

"Doktor telah cuba yang terbaik untuk menyelamatkannya. Dia gagal bertahan kerana kecederaan dan meninggal dunia selepas Maghrib pada Sabtu," jelas satu sumber kepadaThe Star pada Ahad.

Difahamkan jenazah Mohd Lofti akan dikebumikan di Turki.

Dalam serangan itu, seorang lagi rakyat Malaysia Mohammad Fadhlan Shahidi Mohammad Khir, 21, turut terkorban.

Rakyat Malaysia yang telah terkorban di Syria sejak 10 Ogos lalu ialah Zainan Harith yang dikenali sebagai Abu Turob, manakala Ahmad Tarmimi Maliki, 26, terkenal selepas kematiannya kerana menjadi pengebom berani mati yang pertama dari negara ini.

Sebelum ini The Star melaporkan Mohd Lofti,  bekas Exco Pemuda Pas Kedah sedang menjalani misi berani mati di Syria, namun di laman Facebooknya mendakwa dia bukan pasukan Negara Islam atau anggota Levant (Isil).

Mengikut abang sulungnya Zainon Ariffon,52, Mohd Lofti pergi ke Syria untuk berperang kerana bersebab.

Mohd Lofti meninggalkan lapan anak yang berumur lapan bulan hingga 17 tahun.

Dia dikatakan tidak balik ke rumah ketika adiknya yang berusia 41 tahun meninggal dunia kerana serangan jantung Mac lalu.

Dalam laporan eksklusif sebelum ini, Mohd Lofti antara 40 orang rakyat Malaysa termasuk empat bekas tahan ISA.

Mereka ialah bekas anggota Kumpulan Mujahiddin Malaysia (KMM) Zainuri Kamaruddin dan bekas Jemaat Islamiah (JI) iaitu Rafi Udin, Samad Shukri, Zid Saharani Mohamad Esa.

Mohd Lofti ditahan ISA pada Ogos 2001 hingga Spetember 2003 kerana terlibat dengan KMM.

Pada awal tahun 1990-an, Mohd Lofti telah menyertai latihan senjata di Afganistan dan terlibat dalam dua konflik berasingan di Tajikistan dan Poso Sulawesi.

mStar Online


Read more...

Ahad, 17 Ogos 2014

CERAH AZMIN ALI CALON MB SELANGOR ?

Azmin Ali

KLANG: Terdapat kemungkinan besar Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) Mohamed Azmin Ali akan dinamakan oleh parti sebagai calon baharu menteri besar Selangor untuk menggantikan penyandang Tan Sri Khalid Ibrahim.

"Tidak ada lagi keraguan tentang hal itu. Kita akan dapatkan apa yang kita mahu, iaitu untuk mendapatkan Azmin bagi menggantikan Khalid," kata seorang anggota PKR yang juga Anggota Dewan Undangan (Adun) di Selangor.

Beliau menambah terdapat perselisihan besar dalam parti buat masa ini kerana kira-kira dua pertiga daripada ahli mahukan Azmin, bukan presiden parti Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai pengganti Khalid.

Beliau mendakwa PKR Selangor dan kepimpinan di lapan negeri lain telah meminta parti mengemukakan nama Azmin bersama-sama Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, tetapi ia telah ditolak oleh beberapa pemimpin tertinggi PKR dan penyokong mereka.


Sumber itu berkata para pemimpin berkenaan hanya mengemukakan satu nama kerana mereka tahu jika mereka mengemukakan nama Azmin, Sultan Sharafuddin Idris Shah dilihat akan memilih beliau berbanding Dr Wan Azizah.

Beliau berkata pemimpin-pemimpin yang sama juga enggan menyerahkan nama Azmin bersama-sama dengan Khalid kepada Sultan selepas berakhirnya pilihan raya umum ke-13 tahun lepas.

Ketua Kluster Politik, Keselamatan dan Hal Ehwal Antarabangsa Majlis Profesor Negara (MPN) Prof Datuk Dr Mohamed Mustafa Ishak Khalid berpendapat bahawa peluang Azmin untuk menjadi menteri besar adalah cerah. 

"Sudah terdapat spekulasi meluas bahawa Azmin akan disyorkan sebagai menteri besar yang seterusnya sekiranya PAS menerima langkah untuk menggantikan Khalid," kata Mohamed Mustafa.

PAS, yang berpegang teguh pendirian enggan menyokong Dr Wan Azizah sebagai pengganti Khalid, dijadualkan mengadakan mesyuarat pada Ahad untuk memutuskan sama ada parti itu akan terus menyokong Khalid atau sebaliknya.

Jika pemimpin-pemimpin PAS bersetuju untuk Khalid digantikan, sumber-sumber Pakatan Rakyat berkata, nama Azmin dan Adun Ijok Dr Idris Ahmad akan dicadangkan sebagai alternatif.

Sementara itu, seorang wakil rakyat PR yang enggan namanya disiarkan berkata, realiti yang menyedihkan adalah bahawa tidak ada seorang pun dalam PKR selain daripada Azmin dan Dr Idris yang boleh dicadangkan sebagai pengganti Khalid. 

"Sebenarnya, hanya Azmin mempunyai kepintaran politik, pengalaman dan karisma untuk menjadi menteri besar," katanya.

Timbalan Dekan Fakulti Pengajian Sains Sosial Universiti Sains Malaysia Prof Madya Dr Sivamurugan Pandian bersetuju terdapat kebarangkalian yang tinggi bahawa Azmin akan dinamakan sebagai menteri besar jika namanya telah dicadangkan oleh PAS.

Sivamurugan berkata Sultan Selangor boleh mencontohi Sultan Azlan Shah mengendalikan krisis di Perak pada 2009 dengan mengadakan pertemuan dengan wakil rakyat untuk mengetahui siapa sebenarnya yang disokong.

"Mungkin ada dua atau tiga wakil rakyat PKR yang secara senyap-senyap menyokong Khalid, dan selepas mesyuarat PAS kita akan dapat tahu jika dua wakil rakyat itu (Saari Sungib dan Hasnul Baharuddin) masih berkeras menyokong Dr Wan Azizah, atau telah membuat pusingan U," katanya.


Sumber mStar Online

Read more...

Khamis, 14 Ogos 2014

TERKINI ! PKR Dakwa Dapat Sokongan 30 Adun, Sedia Guling Khalid

SUBANG JAYA: Pakatan Rakyat sedia merampas kembali pentadbiran Selangor selepas mendakwa memperoleh kekuatan menerusi majoriti mudah untuk membentuk kerajaan dan sekaligus menggulingkan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai menteri besar sedia ada.
Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, PR mempunyai sekurang-kurangnya 30 sokongan undi majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Selangor setakat ini.
Menurut beliau, sokongan itu termasuk dua Adun daripada PAS iaitu Saari Sungib (Hulu Klang) dan Hasnul Baharuddin (Morib).
Baki 28 Adun yang menyatakan sokongan terhadap Dr Wan Azizah ialah ialah masing-masing 13 daripada PKR dan 15 yang mewakili DAP.
Menurut Dr Wan Azizah, pendirian yang dinyatakan kesemua Adun berkenaan dibuat secara bertulis menerusi surat akuan bersumpah.
"Oleh itu saya mengutus surat kepada Tuanku Sultan Selangor untuk memohon mengadap dan mempersembahkan sokongan majoriti untuk perkenan tuanku," katanya pada sidang media di sini, Khamis.
mStar Online

Read more...

Selasa, 12 Ogos 2014

MB Selangor Pecat Exco PKR dan DAP

SHAH ALAM: Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah menghantar surat kepada Sultan Selangor bagi memohon perkenan memecat tiga exco DAP dan tiga exco Parti Keadilan Rakyat (PKR) kerana membuat gagasan mengehadkan kuasa beliau sebagai menteri besar.

Khalid turut menegaskan bahawa pemecatan semua exco terbabit berkuatkuasa serta merta.

"Oleh itu, saya telah minta dan tulis surat kepada Sultan Selangor supaya mereka ini tidak meneruskan kerjaya sebagai exco kerajaan negeri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita di Lobi Bangunan SUK di sini, sebentar tadi.

Enam exco itu adalah Datuk Teng Chang Khim, Rodziah Ismail, Ean Yong Hian Wah, Wong Keat Ping, Dr Daroyah Alwi dan Ganabatirau Veraman.

Terdahulu, enam exco DAP dan PKR tersebut mengeluarkan kenyataan bersama bahawa Khalid tidak boleh membuat sebarang keputusan dalam Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri tanpa melalui proses undian.

"Sebarang keputusan perlulah diundi supaya fungsi Khalid dihadkan kepada kapasiti peralihan," kata mereka.

Malah, mereka hanya mengiktiraf Khalid sebagai menteri besar Selangor dalam peralihan, sehingga Pakatan Rakyat memilih pengganti beliau.

Jelas Khalid lagi, surat pemecatan tersebut sudah diserahkan kepada lima ahli exco kecuali Rodziah yang kini berada di luar negara.

Sementara itu, Khalid turut memaklumkan telah mengadakan perjumpaan dengan  exco PAS bagi membincangkan mengenai inti pati mesyuarat exco pada Rabu.

"Kita bincang mengenai perkara penting yang perlu diutamakan agar pentadbiran di negeri ini terus mantap dan program yang dirancang dapat dilaksanakan," katanya.

Diminta mengulas mengenai spekulasi beliau telah menghantar borang menyertai PAS pagi tadi, Khalid bagaimanapun menafikan perkara tersebut.

"Tidak, tak ada," jawabnya ringkas.
Sumber

Read more...

Sultan Selangor tidak perkenan Wan Azizah menghadap

Wan Azizah Wan Ismail.

SHAH ALAM – Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah menitahkan baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohamad Munir Bani berkata, baginda telah menerima surat yang telah ditandatangani Ketua Umum PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim Ahad lalu yang memohon agar Wan Azizah menghadap baginda.

“”Surat itu bagi memohon Presiden PKR menghadap Sultan Selangor bagi memberi penerangan dan penjelasan yang telah diputuskan PKR. Surat permohonan itu telah disembahkan kepada Sultan Selangor pada Isnin.

“Baginda menitahkan supaya saya memaklumkan kepada Anwar bahawa baginda tidak berkenan menerima menghadap Presiden PKR atas alasan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim telah pun menghadap banginda berkaitan kedudukan beliau sebagai Menteri Besar Selangor,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurut kenyataan itu, baginda tidak mahu campur tangan dalam soal pemecatan Abdul Khalid dari PKR.

“Sultan Selangor berpendapat bahawa pemecatan Abdul Khalid dari PKR merupakan isu dalaman parti yang tidak menjejaskan kedudukan beliau sebagai Adun Menteri Besar Selangor.

“Baginda tidak mahu campur tangan dalam isu dalaman PKR,” katanya.

Dalam pada itu, Sultan Selangor turut memaklumkan bahawa baginda telah berkenan Abdul Khalid terus kekal sebagai Menteri Besar, bukannya keputusan Mesyuarat Dewan Diraja Selangor sebagaimana yang dilaporkan media.

“Mesyuarat Dewan Diraja Selangor yang diadakan pada 11 Ogos adalah mesyuarat berjadual yang telah diperkenan Sultan Selangor dan tidak membincangkan kedudukan Abdul Khalid.

“Abdul Khalid telah menghadap Sultan Selangor bagi menyembah maklum kepada baginda bahawa beliau telah dipecat oleh Lembaga Disiplin PKR dan beberapa perkara berkaitan kedudukan menteri besar sebelum sidang Mesyuarat Dewan Diraja,” katanya.


Sumber SInar Harian


Read more...

Isnin, 11 Ogos 2014

Sultan beri perkenan Abdul Khalid Ibrahim kekal MB Selangor

Sultan Selangor perkenan Abdul Khalid kekal MB Selangor

BERITA SEBELUM

SHAH ALAM: Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah telah memberi perkenan agar Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim mengekalkan tugas sebagai Menteri Besar Selangor.

Abdul Khalid dalam satu kenyataan hari ini menjelaskan, sehingga ada perkembangan baharu, beliau kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa.

"Saya telah menghadap DYMM Tuanku pagi tadi untuk sembah maklum kedudukan MB selepas pemecatan saya sebagai anggota PKR.

"Lanjutan pemakluman itu, DYMM Tuanku telah bertanya sama ada saya masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

"Saya telah memperjelaskan bahawa di sebalik pemecatan saya, saya masih memperoleh kepercayaan majoriti Ahli Dewan Negeri.

"DYMM Tuanku berpuas hati dgn penjelasan yg telah disembahkan dan telah perkenan untuk saya terus memegang jawatan MB Selangor.

"Sehingga ada perkembangan baharu, saya masih kekal sebagai Menteri Besar Selangor dan akan menjalankan tugas seperti biasa," katanya dalam satu kenyataan di laman mikro Twitter.


Sumber Astro Awani

Read more...

Sabtu, 9 Ogos 2014

TERKINI ! MB SELANGOR DIPECAT DARIPADA PKR

Abdul Khalid Ibrahim

PETALING JAYA: Majlis Pimpinan Pusat (MPP) Parti Keadilan Rakyat (PKR) pada Sabtu sebulat suara memecat Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim sebagai ahli parti  berkuatkuasa serta-merta.

Keputusan tersebut diumumkan oleh Pengerusi Lembaga Disiplin PKR, Datuk Tan Kee Kwong selepas mesyuarat MPP parti di Ibu Pejabat PKR di sini, petang Sabtu.

Tan berkata, keputusan tersebut dibuat selepas Khalid didapati mengingkari keputusan MPP yang sebulat suara memilih Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail sebagai menteri besar yang baharu pada 21 Julai lalu.

" Beliau telah membuat kenyataan media pada 22 Julai lalu yang menyatakan keengganan untuk meletak jawatan Menteri Besar dan sehingga hari ini (Sabtu), beliau terus enggan melepaskan jawatan tersebut.


" Atas alasan ini sahaja pun, Lembaga Disiplin berpendapat beliau wajar dipecat," kata Tan pada sidang media selepas mesyuarat MPP PKR di sini, petang Sabtu.


Malah, Tan berkata, pemecatan Khalid turut mengambil kira tindakan beliau yang ingkar terhadap keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat untuk menangguhkan proses dan perbincangan mengenai projek Langat 2 serta kenaikan elaun Speaker, Menteri Besar, Exco dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun)  Selangor.

"Beliau turut gagal mematuhi keputusan Majlis Presiden Pakatan Rakyat yang dipersetujui sendiri olehnya melibatkan Jawatankuasa Penstrukturan Semula Air Selangor dalam isu penstrukturan aset air Selangor.

"Beliau turut berkeras untuk meneruskan projek Lebuhraya KIDEX walaupun parti sudah mengarahkan beliau untuk mengkaji semula pembinaannya kerana ia bertentangan dengan matlamat dan manifesto Pakatan Rakyat yang dibentangkan sebelum Pilihanraya Umum ke-13 yang lalu," kata Tan.

Jelas Tan, Khalid turut gagal memberikan penjelasan sepenuhnya kepada Majlis Presiden Pakatan Rakyat mengenai isu pelupusan hutang beliau dengan Bank Islam bernilai hampir RM70 juta.

"Oleh yang demikian, adalah diumumkan bahawa Tan Sri Khalid Ibrahim dengan ini dipecat dari Parti Keadilan Rakyat, berkuatkuasa serta-merta," katanya.


Sumber mStar Online


Read more...

Khamis, 31 Julai 2014

Tugas Saya Ambil Alih MB Selangor - Wan Azizah ?

Wan Azizah Wan Ismail
PERMATANG PAUH: Presiden PKR, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail berkata, ia merupakan tugas dan tanggungjawabnya untuk mengambil alih peranan sebagai Menteri Besar Selangor apabila parti sudah pun membuat keputusan berhubung perkara itu.
"Semua jawatan yang saya pegang adalah satu tanggungjawab.
"Malah tanpa jawatan pun, ia merupakan khidmat kepada rakyat," katanya pada majlis keagamaan di masjid Permatang Nibong di sini, Rabu.
Mengenai dakwaan sebagai MB bahawa beliau sekadar "boneka" kepada suaminya, Datuk Seri Anwar Ibrahim, Dr Wan Azizah berkata: "Beliau berada di penjara ketika saya dilantik sebagai presiden (parti).
"Mereka boleh mengkritik apa sahaja yang mereka mahu, tetapi kita mempunyai satu pasukan dan kerja sepasukan yang kita tekankan di sini," katanya.
Majlis Pimpinan Pusat PKR pada minggu lalu mencadangkan Dr Wan Azizah untuk memegang jawatan Menteri Besar Selangor.
Pada Rabu lalu, keputusan parti untuk menggantikan Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dipersetujui secara dasar oleh rakan sekutu Pakatan Rakyat, DAP dan PAS.
Bagaimanapun Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang pada Jumaat lalu mempertahankan Khalid dengan menyatakan bahawa beliau mahu Menteri Besar Selangor itu dikekalkan.
Mengulas kenyataan Abdul Hadi itu, Timbalan Presiden PAS, Mohamad Sabu berkata, kenyataan Presiden PAS itu adalah pandangan peribadi dan bukannya pendirian rasmi parti.
Mursyidul Am PAS, Datuk Niz Abdul Aziz Nik Mat turut menyokong pandangan Abdul Hadi dengan menyatakan bahawa Khalid tidak melakukan sebarang kesalahan.
Sumber mStar Online

Read more...

Selasa, 15 Julai 2014

Azmin Ali Dilantik Menteri Besar Selangor Selepas Raya?

Azmin (kiri) bersama Khalid.

PETALING JAYA: Selangor dilihat sudah bersedia untuk melantik Azmin Ali sebagai Menteri Besar yang baharu tidak lama lagi, menggantikan tempat Tan Sri Khalid Ibrahim yang telah menerima tekanan untuk melepaskan kedudukannya.

Walaupun sebelum ini dilaporkan bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata tidak ada gesaan untuk menggantikan Khalid, kini sumber yang rapat dengan Azmin berkata peralihan kuasa itu akan dilakukan selepas Hari Raya.

"Selepas semuanya, pelantikan ini akan dibuat selepas Hari Raya," kata sumber itu, Selasa.

Sumber itu menambah, Azmin kini mendapat sokongan dari PAS, yang sebelum ini dianggap enggan menggantikan Khalid dengan Adun Bukit Antarabangsa itu.


Sumber itu menambah, DAP dan PAS telah memberi sokongan mereka terhadap pelantikan Azmin sebagai Menteri Besar yang baharu pada mesyuarat tertutup Pakatan Rakyat yang diadakan pada Selasa.


"Walau bagaimanapun, keputusan muktamad akan dibuat oleh Anwar dalam masa terdekat nanti," kata sumber itu, sambil menambah satu mesyuarat presiden akan membincangkan mengenai perkara itu sebelum Hari Raya.

Sumber itu juga mendakwa bahawa pihak istana tidak mempunyai isu untuk menggantikan Khalid, 'selagi ia dilakukan mengikut perundangan negeri'.

Walau bagaimanapun, pada Selasa dilaporkan PAS Selangor berpendapat bahawa tugas Khalid hendaklah diteruskan sehingga pilihan raya umum akan datang.

Mereka dikatakan memihak kepada Khalid, termasuk Pesuruhjaya PAS dan Exco negeri Selangor, Iskandar Samad, yang telah dinamakan sebagai pengganti untuk Khalid.

Exco PAS negeri, Dr Halimah Ali, Sallehen Mukhyi dan Dr Ahmad Yunus Hairi, juga mempertahankan Khalid.

DAP, ketika dihubungi, berkata satu perjanjian yang telah dibuat untuk menggantikan Khalid dengan Azmin telah tersebar. 

"Tidak, kami langsung tidak pernah membincangkan perkara ini semua," kata Adun Kampung Tunk Lau Weng San.

Khalid telah berada di bawah tekanan untuk melepaskan jawatannya daripada rakan-rakan partinya berikutan beberapa kritikan yang dilemparkan berhubung cara beliau mengendalikan pelbagai isu di negeri ini. 

Adun Pelabuhan Klang, yang kalah kepada Azmin dalam jawatan timbalan presiden PKR, juga dikenali sebagai seorang yang tidak berunding dengan parti mengenai dasar negara.


Sumber mStar Online


Read more...

Selasa, 24 Jun 2014

BOLASEPAK PIALA DUNIA FIFA 2014,Pasukan Brazil versi Khairy Jamaluddin

Sumber: Facebook Khairy Jamaluddin


KUALA LUMMPUR: Gambar ‘pasukan’ Brazil yang dimuat naik oleh Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddin di laman Facebook beliau kian mendapat perhatian. 

Merupakan satu gurauan setelah pasukan Brazil layak ke peringkat seterusnya dalam Piala Dunia, gambar berkenaan turut disertakan dengan mesej, "Ini sebab Brazil kembali menang semalam. Nombor 11 score dua bijik (up sendiri). Nombor 4man of the match(up boss). Yang pakai songkok kad merah." 

Gambar itu menampilkan pasukan Brazil yang terdiri dari Khairy dan juga Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak, mantan Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad,  Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein, Ketua Pembangkang Datuk Seri Anwar Ibrahim, dan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat Rafizi Ramli.

Ia turut menampilkan dua pemain negara iaitu penjaga gol negara, Khairul Fahmi Che Mat  dan Pemain Johor Darul Takzim FC Safiq Rahim.

Raja Bomoh Ibrahim Mat Zain dan pelakon Mr. Bean Rowan Atkinson turut dimuatkan dalam gambar berkenaan. 

Ramai memuji sikap ‘sempoi’ Khairy yang memuat naik gambar berkenaan.

“Lawak paling kelakar sejak bermulanya Piala Dunia,” tulis Andrew Kish.

Namun ada juga yang kurang senang dengan tindakan Khairy.

“Tidak wajar. Sebagai menteri dalam kerajaan, kenalah mempromosikan budaya menghormati pemimpin negara,” tulis Mohd Yunus Sharum.

Penampilan Tun Mahathir mendapat reaksi positif. 

“Tun M Nampak gagah,” tulis Siti Ct.

Tambah Pami Nasir, “Dr Mahathir ada yang paling ‘best’.”

Ada yang bertanya tentang kelibat seorang lagi mantan Perdana Menteri Tun Abdullah Ahmad Badawi sambut menulis mungkin beliau menjadi jurulatih pasukan, kata Rahim Alie.

Setakat ini, gambar berkenaan menerima 18745 ‘Likes’, 2909 ‘Shares’ dan 2266 komen.


aStro Awani



Read more...

Selasa, 27 Mei 2014

Jika menang saya akan menetap di Teluk Intan - Dyana Sofya

Calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud

TELUK INTAN: Calon DAP dalam pilihan raya kecil parlimen Teluk Intan, Dyana Sofya Mohd Daud sekali lagi menegaskan beliau akan menetap di daerah tersebut sekiranya dipilih sebagai ahli parlimen kawasan itu.

Dyana Sofya yang membentangkan manifestonya hari ini turut berazam untuk memperjuangkan perwakilan wanita sebanyak 30% di Parlimen selain jawatan utama dalam sektor swasta dan kerajaan.

"Sekiranya diberi mandat, saya juga akan menetap di Teluk Intan dan menggunakan amanat sebagai duta pekan yang indah ini untuk menarik perhatian Parlimen kepada isu yang penting buat rakyat.

"Saya juga menuntut caruman sosial wanita dilaksanakan seperti mana yang dinyatakan Pakatan Rakyat (PR) di mana setiap isteri berhak dilindungi di bawah skim ini," katanya pada satu sidang media di Bilik Gerakan DAP di sini, hari ini.

Lulusan Universiti Teknologi Malaysia (UiTM) berkata, sekiranya pengundi di Tluk Intan memilih beliau, apa yang ingin diperjuangkannya adalah memecahkan benteng pekauman yang sekian lama membelenggu rakyat Malaysia.

Katanya, beliau akan mengenegahkan politik berlandaskan dasar yang membawa pembangunan dan kebajikan rakyat.

“Saya mewakili generasi muda untuk membawa satu politik baru buat masa depan negara. Jika dipilih saya akan berusaha melawan rasuah, salah guna kuasa dan pembaziran kewangan negara.

“Saya juga akan memperjuangkan tadbir urus yang baik, bersih dan telus sebagai mana yang dilakukan kerajaan negeri PR,” katanya.

aStro Awani




Read more...

Rabu, 21 Mei 2014

Kenapa Pengundi Persoal Pengalaman Dyana Sofya ?

Dyana sofya

MUDA, cantik dan berpersonaliti menarik dilihat sebagai senjata buat calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Teluk Intan.‬

‪Namun mewakili DAP yang dilabel banyak pihak sebagai parti cauvinis kerana ideologi dan fahaman bersifat perkauman itu 'menggerunkan' segelintir pengundi Melayu.‬

‪Selain dilihat tidak cukup pengalaman dalam politik, pengundi turut mempersoalkan adakah Dyana yang bakal mencecah usia 27 tahun pada Disember ini berkemampuan untuk menjadi wakil rakyat tanpa menumpukan parti yang dinaunginya.‬

‪Peniaga, Ahmad Nassam Sokadi, 67, berkata, beliau tidak mengenali Dyana berbanding penyandang kerusi Parlimen Teluk Intan, mendiang Seah Leong Peng.‬

‪Ahmad berkata, bagaimanapun, beliau menerima Dyana sebagai calon PRK Teluk Intan kerana pernah  menerima khidmat Leong Peng dari parti yang sama sebelum ini.‬

‪"Dia (Dyana) masih muda, masih baharu. Adakah dia tahu perjuangannya dalam parti?‬

‪"Kita tidak kisah kalau pencalonan Dyana antara lain untuk meraih sokongan pengundi Melayu tetapi tanpa pengalaman agak sukar untuk meyakinkan rakyat," katanya ketika ditemui mStar Online di sini.‬

‪Bagi suri rumah, Rohana Rozali, 56, calon berpengalaman adalah pilihan pengundi kerana lebih mudah memberi khidmat kepada rakyat.‬

‪Tambahnya, Dyana masih dianggap baharu dalam politik maka dia perlu diberi pendedahan bagi meyakinkan pengundi, terutama Melayu.‬

‪"Kalau tak ada pengalaman mungkin agak susah, kita pun kurang yakin. Kalau dia kata mahu menentang perkauman, dia kena buktikan terlebih dahulu semasa berkempen," katanya yang merujuk antara misi Dyana adalah untuk menangani isu perkauman.‬

‪Sementara itu, nelayan, Mohd Abdul Rahman, 52, turut berpendapat bahawa Dyana seharusnya memberi laluan kepada calon BN, Datuk Mah Siew Keong menjadi Ahli Parlimen Teluk Intan.‬

‪Katanya, Siew Keong lebih berkelayakan memandangkan beliau pernah menjadi wakil rakyat di kawasan Parlimen itu selama dua penggal.‬

‪"Ini bukan soal Dyana berbangsa Melayu mewakili DAP atau tidak tetapi sebagai rakyat Teluk Intan, saya lebih mementingkan kredibiliti seseorang itu tanpa mengira parti mana," kata Mohd.‬

‪Bagaimanapun, pandangan anak muda dilihat berbeza apabila memilih Dyana kerana mempercayai calon itu mempunyai idea baharu dalam kepimpinan.‬

‪"Sebagai wakil rakyat, bukan kira usianya tetapi perubahan yang akan dilakukan demi rakyat. Itu yang kita harapkan pada calon muda," kata suri rumah, Lily Maslina Mohd Razali, 22.‬

‪Bagi Mohd Shahrin Naim, 23, pula melihat adalah wajar memilih calon Melayu untuk diberi peluang menjadi wakil rakyat.‬

‪"Tidak ramai golongan muda diberi peluang seperti Dyana maka adalah sebaik-baiknya beliau diberi peluang menjadi contoh kepada anak muda Melayu tampil berani membawa suara rakyat," katanya.‬

‪PRK Parlimen Teluk Intan 31 Mei ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN), Datuk Mah Siew Keong dan calon DAP, Dyana Sofya Mohd Daud berikutan kematian penyandang, Seah Leong Peng akibat kanser pada 1 Mei lalu.‬

‪Kawasan parlimen itu terdiri daripada 42 peratus pengundi Cina, 38 peratus Melayu dan 19 peratus India.

Sumber mStar Online


Read more...

Catatan Popular

Ikut rapat rapat

MENARIK PERHATIAN

Segala penulisan dan gambar gambar di dalam blog ini bukan lah hak sepenuh penulis..barang siapa yang mendapat kesusahan yang teruk seperti terjejas akal minda dan fikiran selepas melayari blog ini bukan lah tangunggan penulis..di atas apa jua komen yang menyentuh sensitiviti seperti memporak peranda kan kesejahteraan..penulis juga tidak akan bertanggung jawab..

Sekian Terima kaSih
original design by : relevan
modified by : relevan

  © Blogger templates The relevan Scripts Template by relevan Scripts 2010

Back to TOP