Datuk rugi RM2j kerana permit kedai nombor ekor
Tweet
Read more...
SHAH ALAM - Seorang lelaki bergelar Datuk menanggung kerugian hampir RM2 juta apabila ditipu tiga lelaki termasuk seorang yang kononnya bergelar 'Datuk' berhubung lesen dan permit peniagaan kedai nombor ekor.
Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial Selangor, Asisten Komisioner Chong Mun Phing berkata, kesemua suspek ditahan secara berasingan pada 2 dan 5 Oktober lalu, masing-masing di Kuchai Lama, Kuala Lumpur dan di sebuah rumah di Shah Alam.
"Kesemua suspek ditahan selepas mangsa seorang pemaju perumahan berumur 35 tahun membuat laporan polis pada Jun lalu sebaik sedar dirinya diperdaya," katanya.
Mun Phing berkata, mangsa diperkenalkan kepada 'Datuk' palsu itu yang menunjukkan kad kuasa kononnya dari Unit Tindakan Khas Kementerian Dalam Negeri dan mendakwa boleh mengeluarkan lesen dan permit untuk membuka kedai nombor ekor pada tahun 2010 oleh seorang rakannya.
Beliau berkata, mangsa diminta membayar RM1.6 juta untuk tujuan itu serta dibawa berjumpa dengan lelaki berusia 45 tahun tersebut dan pembantu peribadinya, berusia 29 tahun di ruang legar sebuah kementerian untuk meyakinkan mangsa.
"Ketika dibawa berjumpa dengan suspek bergelar 'Datuk' itu, mangsa menerima satu permit untuk perniagaan nombor ekor itu dan diminta menunggu untuk tempoh setahun bagi mendapatkan lesen serta surat pengesahan bagi memulakan perniagaan," katanya.
Katanya,selepas menunggu lebih setahun, mangsa bertindak pergi ke sebuah kementerian dengan membawa permit yang diterimanya namun dimaklumkan permit itu adalah palsu serta individu terbabit tidak mempunyai kaitan untuk meluluskan lesen perniagaan serta mengeluarkan permit.
- BERNAMA
