Pencuri kepala paip diberkas
Tweet
KAMARUDIN menunjukkan kepala paip milik masjid yang berjaya ditemui semula pada sidang akhbar di Besut semalam
BESUT – Enam lelaki yang dipercayai menjadi dalang kegiatan mencuri kepala paip keluli tahan karat di beberapa buah masjid di daerah Besut sejak sebulan lalu berjaya diberkas pagi kelmarin.
Ketua Polis daerah, Superintendan Kamarudin Mohd. Zakaria berkata, dua daripada suspek yang berusia 19 dan 22 tahun bekerja dengan sebuah syarikat pemotong rumput dan didapati positif dadah.
Katanya, mereka diberkas sepasukan polis dari Balai Polis Jerteh pada pukul 12 tengah hari ketika sedang memotong rumput di tepi jalan Padang Tapong-Lata Tembakah.
Turut ditahan untuk siasatan lanjut ialah seorang lelaki berusia 53 tahun yang merupakan pemilik sebuah kedai besi lusuh di Kampung Bukit Keluang yang dipercayai membeli kepala paip tersebut daripada suspek.
“Siasatan lanjut telah membawa kepada tangkapan empat lagi suspek berusia 20 tahun dan polis menemui semula 18 kepala paip termasuk sembilan yang dilaporkan dicuri di Masjid Ulul Albab Seberang Jerteh.
“Semua suspek merupakan penduduk tempatan dan setakat ini, lima laporan membabitkan empat buah masjid diterima iaitu masing-masing satu kes di Masjid Al-Fakeh, Balik Bukit, Jerteh, Masjid Kampung Lak Lok dan Masjid Haji Husain, Kampung Baharu di Kuala Besut manakala dua lagi kes di Masjid Ulul Albab,” katanya di sini semalam.
* Sumber kosmo!


0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan