Shah Rukh Khan tak selesa aksi cium

MUMBAI: Sepanjang 22 tahun pembabitan beliau dalam dunia hiburan, bintang Bollywood, Shah Rukh Khan mendakwa tidak pernah bercium dengan mana-mana aktres dalam filem dan menegaskan tidak akan melakukannya.
Beliau mengakui, bukan saja dirinya tidak selesa jika perlu beraksi cium di layar perak tetapi mendakwa tidak tahu bagaimana melakukannya.
“Saya tidak bercium di layar perak kerana saya tidak tahu bagaimana untuk lakukannya. Saya tidak tahu kerana saya rasa aksi itu pelik dan anggap mereka yang melakukannya di filem tahu lakukannya dengan baik,” kata bapa dua anak itu.
“Saya rasa tidak selesa jika melakukan perkara itu dalam filem. Apabila ada orang datang untuk mengisahkan satu cerita kepada saya, saya beritahu mereka dua perkara, “Saya tidak menunggang seekor kuda dan saya tidak bercium”,” kata aktor berusia 45 tahun itu yang kini sedang terbabit dalam rakaman filem sains fiksyen, Ra. One.– Agensi
