Selepas Syiling 5 Sen Erma Fatima Beri Rabecca Islam Wang kertas RM1 Pula
Tweet
PETALING JAYA: Selepas dikejutkan dengan penerimaan wang syiling 5 sen berjumlah RM11,200, Rabecca yang menang saman terhadap Erma Fatima menerima pula wang kertas RM1 dengan jumlah yang sama daripada pengarah drama itu.
Rabecca, 27, berkata, dia menerima wang itu melalui pejabat peguamnya iaitu Nordin Othman pada pukul 10 pagi Selasa selepas dia bertindak memulangkan syiling 5 sen yang diterimanya sebelum ini.
"Tidak mengapa, jika cara itu dapat memuaskan hati insan bernama Fatimah Rahmad (Erma), saya reda.
"Hanya Allah sahaja yang dapat membalas segala-galanya, syukur Alhamdulillah," kata Rabecca menerusi pesanan khidmat ringkas (SMS) yang dikirimkan kepada mStar Onlinepada Selasa.
Pada 8 November lalu, Rabecca berjaya memenangi kes tuntutan terhadap Erma Fatima apabila Mahkamah Majistret Kuala Lumpur mengarahkan pengarah dan penerbit drama itu mengembalikan baki jumlah wang lakonan Rabecca sebanyak RM11,200 (40 peratus berserta lima peratus faedah) daripada bayaran selain membayar kos guaman kepadanya.
Kedua-dua artis itu sebelum ini pernah bertegang urat apabila Erma selaku pengarah drama Dejavu Di Kinabalu gagal melunaskan baki bayaran lakonan pelakon itu sebanyak 40 peratus sehingga menyebabkan Rabecca memfailkan saman pada 23 Julai 2013.
Bagaimanapun pihak peguam Erma bersama beberapa pembantu menyerahkan wang tuntutan berkenaan menggunakan wang syiling 5 sen di pejabat Nordin yang dimasukkan dalam beberapa bungkusan termasuk sebuah kotak yang terdapat Al-Quran.
Namun, pihak Rabecca pula memulangkan wang tersebut kepada Erma dan meminta penerbit dan pengarah itu membayar wang tuntutannya dengan cara berhemah iaitu tidak menggunakan syiling.
Sementara itu, tambah Rabecca, dia menerima wang tersebut dengan hati yang terbuka kerana enggan memanjangkan lagi isu tersebut.
Dia juga tidak mahu lagi dikaitkan dengan Erma sebaliknya ingin memberi fokus terhadap kerja amal di mana dia akan berada di Kuantan, Pahang pada petang Rabu (hari ini) bagi membantu mangsa-mangsa banjir.
"Saya akan bertolak ke Kuantan pada pagi Rabu untuk membantu dan berjumpa dengan mangsa-mangsa banjir. Doakan yang baik-baik ya," ujarnya.
Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan