‘Suara dari langit’ dijawab minggu depan
PETRA JAYA: Kejadian aneh ‘suara dari langit’ yang menggemparkan penduduk sekitar Kota Samarahan dekat sini pada 11 dan 12 Januari lalu, akan terjawab minggu depan apabila Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi mengumumkan hasil siasatan pakar mereka.
Timbalan Menteri, Sains dan Teknologi, Datuk Fadillah Yusof, berkata pihaknya yakin kejadian aneh itu mempunyai penjelasan dari sudut saintifik yang dapat diterima semua pihak, sekali gus menolak beberapa andaian tidak logik.
Katanya, rakaman dan temu bual dengan penduduk yang mendengar suara aneh itu dibuat pasukan penyiasat dari Kuala Lumpur dengan jawatankuasa kementeriannya sedang menilai perkara berkenaan.
“Laporan awal mendapati kemungkinan besar bunyi berkenaan berpunca daripada pendandang kilang sawit milik FELCRA di Samarahan dengan pengesahan lanjut akan dibuat selepas ini,” katanya ketika ditemui selepas Majlis Penyerahan Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) bagi Parlimen Petra Jaya, di sini, semalam.
Baru-baru ini, penduduk di sekitar Kota Samarahan mendengar bunyi aneh antara jam 1 pagi hingga 5 pagi pada hari berkenaan dan ia mencetuskan pelbagai andaian penduduk di negeri ini dan tersebar dalam Youtube.