Ila Sabri nafi menjanda
Tweet
Read more...
WAJAH dan penampilan terbaharu Ila yang kini muncul dengan single Keranamu Kekasih yang diberi nafas baharu.
“SAYA masih belum berkahwin, jauh sekali sudah bergelar janda, saya jadi macam ini sebab kuat makan sahaja bukan ada sebab lain.” Itu pengakuan tegas daripada penyanyi Ila Sabry mengenai bentuk badannya sekarang ini berbanding ketika dia popular suatu ketika dahulu dengan lagu Keranamu Kekasih.
Hampir 14 tahun menyepi daripada bidang nyanyian setelah terkenal dengan lagu Keranamu Kekasih, Ila, 33, kini mahu membuat penampilan semula dengan imej yang lebih segar. Dia yang mahu diingati kembali dan diterima oleh peminatnya berharap dengan lagu Keranamu Kekasih yang diberi nafas baharu oleh pengubah lagu terkenal Mac Chew dapat diterima ramai.
“Lagu itu yang akan diterbitkan dalam single terbaharu saya lepas hari raya nanti adalah secara orkestra mini. Ia satu kelainan dengan nyanyian saya 14 tahun lalu,” ujarnya ketika ditemui baru-baru ini.
Mengakui sandaran lagu Keranamu Kekasih versi terbaharu itu tidak cukup untuk menjulang balik namanya setelah lama menyepi, Ila mengakui dia perlu membuat sesuatu dengan bentuk badannya yang agak berisi sekarang ini.
“Saya tahu persaingan agak sengit sekarang dengan muncul banyak penyanyi baharu yang lebih muda, jadi saya akan berusaha untuk menurunkan berat badan agar lebih ideal dengan ketinggian saya,” jelasnya.
Soal berat badannya kini yang kini mencecah 63 kilogram (kg) berbanding awal kemunculannya dahulu iaitu 47 kg, Ila mengakui perkara itu turut ditegur oleh guru vokalnya yang juga bekas guru vokal program realiti TV Akademi Fantasia, Cikgu Shafi atau nama sebenarnya, Syafizawati Sharif.
“Cikgu Shafi juga suruh saya turunkan berat badan sebab apabila menyanyi saya cepat semput, jadi apabila sudah ditegur begitu, saya perlu mula berdiet,” ujarnya yang menyasarkan untuk memiliki berat badan sebanyak 55 kg apabila melancarkan albumnya itu nanti.
Sungguh pun nekad untuk menurunkan berat badan, Ila tidak percaya dan tidak akan menggunakan produk atau ubat-ubatan yang terdapat di pasaran sebagai jalan pintas untuknya kelihatan kurus.
“Saya akan cuba cara semulajadi seperti bersenam dan amalan pemakanan yang sihat, saya tidak akan sekali-kali akan guna jalan pintas itu, nanti akan tambah mudarat pula,” ujarnya yang berasal dari Perlis.
Bekas pelajar Universiti Tun Abdul Razak (Unitar) dalam jurusan pengajian perniagaan ini, berkata selepas mengundur diri dalam karier seninya dahulu, dia menumpukan perhatian terhadap pelajaran atas nasihat keluarganya.
“Ketika itu keluarga suruh saya tumpu belajar dulu, jika sudah ada kelulusan baru mereka benarkan saya aktif dalam nyanyian, sebab itu saya menyepi,” ujarnya yang yang turut mengusahakan sebuah restoran di Danau Kota, Kuala Lumpur dinamakan Kafe Kerisik.
Dalam tempoh itu, dia telah bekerja di sebuah syarikat dan membuka sebuah restoren seterusnya kini telah menubuhkan sebuah lagi syarikat dinamakan Ila Sabri Production untuk menguruskan kariernya selepas ini.
Ila yang menaruh harapan tinggi dengan kemunculannya kembali itu berharap album baharunya yang mendapat sentuhan komposer terkenal seperti Ajai dan Aidit Alfian diterima semula oleh peminat.
* Sumber kosmo!Read more...