Personaliti TV Singapura hilang kereta
Tweet
JOHOR BAHRU – Polis masih menyiasat dan mengesan kereta Nissan Sunny milik personaliti televisyen (TV) Singapura yang hilang selepas dilarikan dua penjenayah berhampiran gerai buah-buahan di Jalan Susur 5, Larkin kelmarin.
Semasa kejadian pukul 12.40 pagi, personaliti TV yang bertugas di salah sebuah saluran popular di Singapura, Rita Zahara Mohd. Nazeer, 37, memberhentikan keretanya kira-kira 30 meter dari deretan gerai buah di situ.
Dia kemudian dengan enjin kereta masih hidup membiarkan dua anaknya (seorang lelaki, seorang perempuan), seorang adiknya serta pembantu rumah menunggu di dalam kereta tersebut.
Jarak gerai buah dengan Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) kira-kira tiga kilometer (km).
Bagaimanapun, selepas selesai membeli buah-buahan dalam tempoh 10 minit, Rita terkejut mendapati kereta bersama anak-anak, adik serta amahnya hilang.
Panik dengan keadaan tersebut, Rita menghubungi adiknya sebelum panggilan tersebut dijawab oleh seorang lelaki.
Selepas empat jam, dua anak Rita, adik serta pembantu rumah personaliti TV itu ditemui selamat ditinggalkan di tepi jalan di Kampung Nora, Ulu Tiram yang terletak kira-kira 20km dari lokasi kereta itu hilang.
Bagaimanapun, kereta Nissan Sunny milik Rita belum ditemui.
Mengikut laporan Channel News Asia, Rita mendakwa jumlah kerugian yang dialaminya akibat kehilangan kereta dan barang-barang berharga dalam kereta tersebut bernilai RM199,718.
* Sumber kosmo!
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan