Pencerobohan Lahad Datu: Polis Teruskan Operasi, Nafi 700 Penceroboh Memasuki Sabah
Tweet
Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar berkata operasi masih dijalankan memandangkan tiada tanda-tanda menyerah diri oleh kumpulan penceroboh Sulu pada sidang media, Jumaat. -Foto PDRM
LAHAD DATU: Ketua Polis Negara Tan Sri Ismail Omar menafikan khabar angin bahawa 700 lelaki bersenjata Sulu telah memasuki Sabah.
"Saya menerima maklumat terdapat SMS dan laporan di media sosial palsu mendakwa bahawa lelaki bersenjata ini telah memasuki Kota Kinabalu dan Tawau untuk menimbulkan kekacauan," katanya dalam satu sidang akhbar di sini, pagi Jumaat.
"Ia tidak benar. Jangan percaya dengan laporan yang tidak disahkan oleh polis dan tentera. Sila maklumkan kepada polis jika anda melihat apa-apa maklumat melalui media sosial atau mesej teks," katanya.
Pada sidang akhbar bersama dengan Ketua Angkatan Tentera Jeneral Tan Sri Zulkifeli Mohd Zin, di sini, Jumaat, Ismail juga menunjukkan gambar-gambar baru mayat lelaki bersenjata dan senjata yang disita.
Ismail berkata, salah seorang pemimpin kumpulan itu mungkin berada di kalangan lelaki bersenjata Sulu yang terbunuh dalam operasi yang dijalankan pasukan keselamatan.
Ditanya sama ada pemimpin kumpulan, Azzimudie Kiram, saudara kepada Jamalul Kiram III yang mendakwa dirinya sebagai Sultan Sulu berada di kalangan mereka yang terbunuh, Ismail berkata: "Kami masih dalam proses mengenal pasti pemimpin ini.
"Buat masa sekarang kita boleh mengatakan bahawa, berdasarkan pakaian, di kalangan mereka yang terbunuh adalah salah seorang pemimpin mereka," katanya.
Ismail berkata lelaki bersenjata Sulu tidak menunjukkan tanda-tanda menyerah, lantas operasi terhadap mereka diteruskan.
Pasukan keselamatan Malaysia melancarkan serangan habis-habisan terhadap lelaki bersenjata pada Selasa, selepas pencerobohan bermula pada 9 Februari.
* Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan