Neelofa nak tinggalkan Dunia Seni ?
Tweet
MALE ATOLL SELATAN (MALDIVES): Pelakon dan pengacara Neelofa mahu meninggalkan dunia seni untuk memberi tumpuan dalam bidang perniagaan dan rumah tangga yang bakal dibinanya sebelum mencecah usia 30 tahun.
Neelofa atau nama sebenarnya Noor Neelofa Mohd Noor, 24, berkata, dia tidak percaya bakatnya akan diperlukan dalam tempoh lima tahun akan datang kerana ketika itu sudah ada pelakon-pelakon baharu yang lebih menjadi perhatian.
“Terus-terang saya katakan, saya tidak pernah berhasrat untuk berlakon sampai bila-bila. Insya-Allah, dalam masa lima tahun ini saya akan kurangkan aktiviti seni dan seterusnya meninggalkan dunia glamor ini untuk beralih kepada bidang lain apabila usia saya 30 tahun,” katanya kepada mStar Online.
Neelofa ditemui semasa menyertai percutian bersama syarikat penerbangan tambang murah AriAsia X selama lima hari bermula 18 Oktober lalu di Holiday Inn Kandooma di sini.
Selain Neelofa, pengacara Fara Fauzana turut bersama dalam percutian berkenaan bagi merasai perjalanan laluan terbaharu syarikat penerbangan itu selain melihat keindahan pulau terbabit.
Neelofa berkata, dia tidak menyesal membuat keputusan berkenaan memandangkan ketika ini semakin ramai artis baharu muncul dan tentunya pada masa depan, pelakon lain lebih menonjol sebagaimana yang dialami pelakon senior lain ketika ini.
Ujarnya, sebagai permulaan dia mula berjinak-jinak dalam bidang perniagaan termasuklah memperkenalkan produk penjagaan kesihatannya iaitu Bellavita.
Pengacara rancangan Nona dan Meletop ini turut membayangkan akan mendirikan rumah tangga pada usia 29 tahun.
“Saya merancang selewat-lewatnya pada usia 29 tahun saya akan berkahwin dan mempunyai keluarga sendiri. Pada waktu itu tumpuan saya adalah dalam perniagaan dan bukan lagi lakonan,” jelasnya sambil memberitahu buat masa ini masih belum mempunyai teman istimewa.
Dalam perkembangan lain Neelofa berkata dia sudah mendapat surat tawaran untuk mengikuti kursus jangka pendek di New York Film Academy, di Los Angeles, Amerika Syarikat.
Neelofa akan mengambil kursus dalam bidang lakonan selama sebulan bermula 6 Januari 2014.
“Saya sudah bersedia untuk meneroka bidang seni dengan mengikuti kursus jangka pendek di Amerika Syarikat. Ketika itu saya sedang cuti semester di kolej saya sekarang. Jadi, mudah untuk saya untuk menyambung pelajaran,” katanya yang ketika ini merupakan pelajar Kolej Universiti Sunway, Petaling Jaya, peringkat ijazah sarjana muda pemasaran dan perdagangan antarabangsa.
Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan