BOLASEPAK PIALA MALAYSIA 2014, JDT KE FINAL
Tweet
PEMAIN JDT, Luciano Figueroa (dua dari kiri) berebut bola dengan pemain FELDA United, Indra Putra Mahayuddin pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia 2014 di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
KUALA LUMPUR: Johor Darul Ta'zim (JDT) memanfaat sepenuhnya aksi timbal balik di laman sendiri, Stadium Larkin, Johor Bahru untuk menewaskan FELDA United 3-1 sekali gus melangkah ke final Piala Malaysia, malam tadi.
Seperti Pahang, JDT juga terpaksa bangkit untuk mencari kemenangan di tempat sendiri selepas tewas 3-4 pada perlawanan pertama di laman lawan sebelum mara dengan agregat 6-5.
Keghairahan JDT untuk menjaringkan gol jelas dengan beberapa cubaan agresif seawal minit pertama perlawanan namun benteng pertahanan FELDA yang dikawal pemain berpengalaman mampu mengekang serangan yang dilancarkan.
Gawang FELDA yang dikawal Mohd Farizal Harun akhirnya bocor juga pada minit ke-32 menerusi penyerang import, Luciano Figueroa namun kelebihan itu pantas dipadam pelawat menerusi Raimi Mohd Nor mudah meledak gol hasil satu gerakan cantik yang menewaskan Muhammad Al-Hafiz Hamzah.
Kedudukan berakhir 1-1 sehingga tamat babak pertama.
PEMAIN FELDA United, Makeche Ndumba (tengah) diasak dua pemain JDT, Mohd Fadhli Shah (kiri) dan Aidil Zafuan pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Malaysia di Stadium Larkin, Johor Bahru, malam ini. - Foto Hairul Anuar Abd Rahim
Memasuki babak kedua, JDT yang tertekan bertindak pantas dengan melakukan beberapa pertukaran di bahagian tengah sambil perlawanan bertambah panas yang memaksa beberapa kad kuning dan merah terpaksa dilayangkan pengadil.
Sekalipun tertekan, JDT begitupun tidak cepat melatah dan menyumbat gol kedua juga menerusi Figueroa hasil gandingan menariknya bersama Jorge Pereyra Diaz pada minit ke-64.
Hasil gerakan pantas yang bermula dari kanan padang, Diaz melepaskan hantaran cantik disambut kemas Figueroa menerusi tandukan ke gawang yang gagal dijangkau Farizal.
Diaz kemudian meneruskan kecemerlangannya apabila menjadi perancang gol ketiga JDT selepas bijak memperdayakan pertahanan FELDA sebelum melepaskan hantaran kepada Amri Yahyah yang dengan tenang melepaskan sepakan kuisan tinggi yang mematikan gerakan Farizal.
Kemenangan pasti menjadi hadiah paling perkahwinan paling bermakna buat Presiden Persatuan Bola Sepak Negeri Johor, Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.
Perlawanan final Piala Malaysia yang menemukan JDT dan Pahang dijadual berlangsung pada 1 November ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
PEMAIN JDT, Jorge Pereyra Diaz (tengah) diasak pemain pertahanan FELDA United, Shahrulnizam Mustapa (kiri) dan Indra Putra Mahyuddin (kanan) pada perlawanan timbal balik Piala Malaysia di Stadium Larkin, di sini hari ini. - Foto BERNAMA
Keputusan
JDT 3 FELDA United 1
Gol: JDT - Luciano Figueroa (m32/64), Amri Yahyah (m72), FEL - Raimi Mohd Nor (m36)
(JDT mara ke final dengan kemenangan agregat 6-5)
Sumber BH
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan