Harga minyak masak tidak naik, bekalan mencukupi
PETALING JAYA 3 Jan. - Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan memberikan jaminan bahawa harga minyak masak tidak akan dinaikkan buat masa ini.
Timbalan menteri kementerian berkenaan, Datuk Tan Lian Hoe berkata, jaminan itu dibuat kerana bekalan minyak masak mencukupi dan tindakan diambil termasuk menyelaras dengan Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB) untuk mempercepatkan bekalan kepada semua kedai.
Beliau berkata, kekurangan minyak masak disebabkan pembelian panik berikutan khabar angin bahawa harga barang keperluan ini akan dinaikkan.
"Minyak memang mencukupi untuk negara kita. Saya harap pengguna jangan dengar khabar angin sebegini.
"Kabinet belum mencadangkan untuk menaikkan harga (minyak masak), jadi tidak akan ada kenaikan harga buat masa ini melainkan ditentukan oleh Kabinet,” katanya kepada pemberita selepas melawat Tesco Mutiara Damansara di sini, hari ini.
Minyak masak adalah salah satu barang kawalan yang disenaraikan oleh kementerian itu.
Lien Hoe berkata, kementerian itu memantau keadaan ini dan memberikan amaran bahawa peniaga yang menaikkan harga barang berkenaan akan menghadapi risiko untuk didakwa mengikut Akta Anti-Pencatutan. — Bernama
*** Tidak percaya langsung jika tidak naik harga minyak masak ini..selalu macam ni lah..kita tengok yer kita akan tengok...