Rakyat kita beli telefon bimbit RM4.5b

KAJIAN syarikat penyelidik pasaran, GfK Malaysia mendapati lebih 7.5 juta telefon bimbit bernilai lebih RM4.5 bilion terjual di Malaysia pada tahun lalu.
Pelanggan membeli 24 peratus lebih banyak unit telefon bimbit yang meningkatkan nilai keseluruhan industri sebanyak 30 peratus berbanding 2009. Dalam kenyataan di Kuala Lumpur semalam, syarikat itu berkata telefon pintar adalah penyumbang utama prestasi baik industri itu.
Sejak awal 2010, nilai jualan telefon pintar sudah meningkat secara tekal setiap bulan dan menguasai 72 peratus daripada keseluruhan jualan telefon menjelang Disember.
Pengurus Besar GfK Malaysia, Jennifer Chan berkata, pergerakan yang lebih meluas dan keperluan untuk berhubung bagi melaksanakan kerja dan tujuan lain adalah sebab peningkatan trend pemilikan telefon pintar.
Pengguna juga terkeliru untuk memilih pelbagai sistem operasi (OS) yang ditawarkan oleh pengeluar telefon. Di segi sumbangan jualan keseluruhan, telefon pintar berada dalam kumpulan harga antara RM500 dan RM1499 dengan penguasaan 64 peratus dengan 38 peratus daripadanya bernilai lebih RM1000.



