#PRU13 : Noraniza Idris bantu calon BN DUN Pulau Tawar kempen
Tweet
Read more...
* Gambar sumber dari FB Adun Pulau Tawar
JERANTUT - Penyanyi yang digelar Ratu Irama Malaysia, Noraniza Idris melahirkan rasa simpati melihat insan-insan yang diserang penyakit kronik menyebabkan mereka terlantar di rumah untuk meneruskan kehidupan seharian.
Noraniza berkata, beliau terpaksa menahan sebak apabila berkunjung ke rumah pesakit-pesakit kronik ketika menyertai jentera pilihan raya Dewan Undangan Negeri (DUN) Pulau Tawar mengadakan program kemasyarakatan di sini hari ini.
Beliau bersama isteri calon Barisan Nasional (BN) DUN berkenaan, Datin Rozita Ramli telah menziarahi 16 buah rumah untuk menyampaikan hamper kepada pesakit kronik.
"Saya sedih melihat nasib mereka yang terlantar di rumah kerana menghidapi pelbagai jenis penyakit dan tidak mampu bergerak seperti orang lain.
"Saya amat bersyukur kerana dikurniakan kesihatan yang baik dan mampu menjalani kehidupan harian dengan sempurna dengan keluarga tersayang," katanya.
Menurutnya, tindakannya membantu jentera pilihan raya BN sempena Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13) adalah kerelaan sendiri dan bukannya dibayar oleh mana-mana pihak.
"Tidak salah artis membantu seseorang calon yang bertanding dalam PRU13 kerana ia merupakan hak individu dan mereka berkah memilih parti mana yang ingin disokong," ujarnya.
Selain membantu jentera pilihan raya, kehadiran beliau ke daerah ini juga bertujuan menyiapkan album baharunya berjudul Gagasan Anak Merdeka.
"Saya akan mengadakan persembahan pada pertandingan karaoke sempena Program Mesra Rakyat 1Malaysia DUN Pulau Tawar bersama Dr. Mohammad Ihab Ismail dan rakaman persembahan tersebut akan digunakan untuk menyiap klip video dalam album baharu itu," jelasnya.
Sementara itu, calon BN DUN berkenaan, Datuk Dr. Ahmad Shukri Ismail berkata, beliau mengucapkan jutaan terima kasih kepada Noraniza dan Mohammad Ihab kerana sudi membantu jentera pilihan raya kawasan tersebut.
- KOSMO!
Read more...