Berita tak Sedap didengar dari Audit Negara, Orang Mati Masih Dapat Bantuan
Tweet
Read more...
145 orang mati masih terus mendapat bantuan kerajaan
KUALA LUMPUR: Laporan Ketua Audit Negara 2012 mendedahkan bahawa bantuan kebajikan masih dibayar kepada 145 orang mati di Kelantan, Sabah dan Negeri Sembilan.
Di Kelantan, 93 orang di Pasir Mas, Pasir Puteh dan Kota Baru terus menerima bantuan berjumlah antara RM65 dan RM120 sebulan, walaupun mereka sudah meninggal dunia di antara tahun 2005 dan 2012.
"Audit mendapati bahawa 41 penerima telah diberikan sebanyak RM110,700 menerusi akaun bank mereka.
"Daripada jumlah itu, RM65,691 telah dikeluarkan oleh waris si mati," kata laporan itu.
Di Sabah, Jabatan Kebajikan Masyarakat didapati telah membayar bantuan kepada si mati, dengan audit mendedahkan bahawa senarai penerima dalam sistem eSBK itu termasuk 12 penerima yang telah meninggal dunia di Semporna dan Sandakan.
"Lapan penerima yang mati masih mendapat bantuan antara satu dan tiga bulan dari tarikh kematian mereka seperti yang dinyatakan dalam senarai itu, dengan jumlah yang dibayar antara RM150 dan RM450.
"Selain itu juga tiada maklumat mengenai tarikh kematian sebenar bagi empat penerima yang sudah meninggal dunia dalam senarai" demikian menurut laporan itu.
Sementara itu di Negeri Sembilan, Jabatan Kebajikan Masyarakat membayar kepada 40 orang mati dari Seremban, Kuala Pilah dan Port Dickson di antara RM100 dan RM200 sebulan. Daripada 40 si mati itu, dua daripadanya meninggal dunia pada 2008.
Sumber mStar Online