Bawah 18 tahun dilarang tonton konsert Lady Gaga
Tweet
SEOUL – Rakyat Korea Selatan berusia di bawah 18 tahun dilarang menonton konsert bintang pop Amerika Syarikat, Lady Gaga ekoran ia didapati tidak sesuai untuk peminat remaja, kata pihak penganjur semalam.
Lady Gaga, 26, bakal memulakan konsert jelajah ketiganya, The Born This Way Ball, pada 27 April di Stadium Olimpik di sini.
Pada permulaannya, penonton berusia 12 tahun ke atas dibenarkan menonton konsert Lady Gaga.
Namun, menurut pihak penganjur, Hyundai Card, sebuah badan pengawasan negara itu, Lembaga Penarafan Media Korea meningkatkan had umur penonton.
“Syarikat kami akan menghormati keputusan lembaga pengawas ini dan mengembalikan wang pemegang tiket yang berusia 18 tahun ke bawah,” kata seorang pegawai Hyundai Card.
Konsert Lady Gaga di negara berkenaan ditentang beberapa pertubuhan agama Korea Selatan ekoran penyanyi lagu Poker Face itu didakwa menyokong homoseksual selain gaya persembahannya yang dianggap lucah.
“Komuniti Kristian kami perlukan tindakan bersepadu bagi mengelakkan golongan muda daripada dijangkiti penyakit homoseksual dan pornografi (yang dibawa oleh Lady Gaga),” kata Persatuan Perhubungan Gereja Korea dalam satu kenyataan.
Penyanyi berkenaan dijangka mengadakan 110 konsert tahun ini ekoran kejayaan lagu popularnya, Born This Way.
Bintang luar biasa itu yang mempunyai hampir 22 juta pengikut di laman sosial Twitter akan memulakan konsert jelajah dunianya di sini.
Dia kemudiannya akan mengadakan persembahan di Hong Kong, Jepun, Singapura, New Zealand dan Australia.
– AFP
* Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan