Saintis temui 'partikel Tuhan'
Tweet
HEUER (dua dari kanan) melihat skrin yang mendedahkan tentang penemuan 'partikel Tuhan' pada satu seminar di Organisasi Eropah Untuk Penyelidikan Nuklear, Geneva semalam.
GENEVA, Switzerland - Saintis-saintis makmal Organisasi Eropah Untuk Penyelidikan Nuklear (CERN) bersorak gembira selepas mereka menemui partikel subatom baharu yang menyerupai partikel Higgs Boson yang dicari selama ini, kata satu kenyataan makmal berkenaan di sini semalam.
CERN merupakan makmal terbesar di dunia yang melakukan eksperimen perlanggaran antara atom.
Partikel baharu itu juga digelarkan sebagai 'partikel Tuhan'.
Pengumuman tentang penemuan itu dibuat oleh beberapa saintis CERN kepada media di sini semalam selepas didedahkan pada satu seminar tentang partikel berkenaan.
Penemuan itu menjelaskan tentang aspek kenapa semua benda di alam semesta mempunyai berat dan bentuk.
Partikel baharu itu akan 'melekat' pada benda yang membolehkan sesuatu benda tersebut mempunyai bentuk dan saiz.
"Kami kini menemui elemen penting yang membuka lembaran baharu bidang fizik partikel," kata Pengarah CERN, Rolf Heuer kepada sekumpulan saintis di sini.
"Pendek kata, saya berpendapat kami telah berjaya. Kami menemui partikel baharu yang konsisten dengan Higgs Boson," tambahnya seperti dilaporkan agensi berita dpa.
Nama Higgs Boson datang daripada seorang ahli fizik Britain, Peter Higgs yang membayangkan kewujudan partikel pemberi jisim pada alam semesta ketika dia bersiar-siar di Pergunungan Cairngorm, Scotland, pada tahun 1964.
Partikel tersebut dilihat sebagai kunci kepada pemahaman tentang kenapa setiap objek mempunyai jisim yang apabila bercantum dengan graviti, akan memberikan berat pada objek berkenaan.
Penemuan terbaharu ini dilihat sama pentingnya dengan penemuan graviti oleh saintis Britain, Isaac Newton.
Pengetahuan tentang partikel Tuhan dapat memberikan pelbagai kegunaan dan faedah kepada para saintis.
Penemuan itu diperoleh selepas beberapa eksperimen dilakukan dengan menggunakan sebuah mesin penghentam atom CERN juga dikenali sebagai Penghentam Hadron Besar (LHC) yang berharga AS$10 bilion (RM31.5 bilion).
Mesin itu dibina di sempadan Switzerland-Perancis. - Agensi
* Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan