Kesal Kesilapan Lalu, Hattan Bakal Nikah Bekas Isteri
Tweet
PETALING JAYA: Penyanyi Datuk Hattan memberitahu dia mungkin akan melangsungkan pernikahan dengan bekas isterinya iaitu Arianie pada Jun depan.
Menurut Hattan atau nama sebenarnya Mohd Shukri Sahabuddin, 49, dia merancang untuk mengadakan majlis itu serentak dengan perkahwinan adik lelakinya iaitu Achem.
"Adik saya akan kahwin pada Jun depan. Harap-harap kalau dapat buat sekali pun bagus juga.
"Lagi pun saya cuma buat majlis kecil-kecilan untuk keluarga dan rakan rapat sahaja," katanya.
Hattan ditemui selepas tayangan rakaman langsung konsert kumpulan rock legenda Led Zeppelin pada 2007 iaitu Celebration Day di GSC One Utama di sini, petang Rabu.
Hattan dan Arianie pernah berkahwin pada 17 Disember 1996 sebelum bercerai talak satu secara rasmi pada 10 Mac 2005 di Mahkamah Rendah Syariah Petaling Jaya, di sini.
Hasil perkahwinan itu, mereka dikurniakan seorang anak lelaki Adam Eiman yang sekarang berusia 14 tahun.
Penyanyi dari Seri Menanti, Negeri Sembilan ini juga pernah berkahwin untuk kali kedua dengan Noorfarashikin Othman pada 11 November 2011 tetapi berpisah dua bulan kemudian.
Mengenai perancangan menikahi semula bekas isteri, Hattan berkata, perasaan sayang yang mendalam mempengaruhi keputusan berkenaan selepas bermuhasabah diri atas kesilapan lalu.
"Saya banyak bermuhasabah diri dan buang ego. Pada awalnya, Arianie berat hati (berkahwin semula) tetapi saya yakinkan dia bahawa saya sudah ubah kesilapan lepas yang garang terhadapnya.
"Setiap kali berjumpa dengan dia, saya rasa sangat bahagia dan seperti jatuh cinta. Insya-Allah saya akan putuskan keputusan ini (kahwin) selepas menunaikan umrah pada Mei depan," katanya.
Hattan berkata, anak tunggal mereka Adam Eiman bagaimanapun tidak menunjukkan sebarang reaksi teruja mengenai perkara itu.
"Adam okey sahaja bila saya kata nak berkahwin semula dengan ibunya. Dia tidak tunjuk reaksi teruja langsung," katanya dalam nada bergurau.
Dalam perkembangan lain, Hattan yang dijemput menyaksikan rakaman konsert Led Zeppelin berkata, ia mengimbau semula kenangan di mana dia dan beberapa artis Warner Music pernah mengadakan persembahan tribute untuk kumpulan itu pada 1995.
"Ketika itu saya, Amy (Search), Ramli Sarip dan Maman (Teacher's Pet) pernah terlibat dalam pertunjukan tribute untuk Led Zeppelin di Hard Rock Cafe.
"Mungkin Led Zeppelin tidak begitu dekat dengan generasi sekarang tetapi mereka sepertigodfather kepada penyanyi dan peminat muzik rock lama," katanya.
Album Celebration Day yang dirakam ketika konsert “reunion” kumpulan itu pada 10 Disember 2007 di Arena O2, England kini berada di pasaran.
Ia ditawarkan dalam empat set iaitu edisi standard - 1 DVD/2 CD, edisi deluxe (2 DVD/2 CD atau 1 Disk Blu Ray/1 DVD/2 CD), edisi audio versi Blu Ray dan edisi vinyl (3 piring hitam).
* Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan