Perogol bebas janji kahwin mangsa
Patna: Seorang pemuda dari Bihar yang dituduh merogol seorang wanita Filipina dibebaskan dari penjara dengan janji dia akan berkahwin dengan mangsa.
Gyan Prakash, yang mengendalikan perniagaan stesen minyak di daerah Timur Champaran di Bihar, dibebaskan dari penjara Isnin lalu selepas mangsa rogol Shilah Ikoben membuat rayuan agar dia dibebaskan.
Dalam petisyen difailkan mangsa ke mahkamah daerah Gaya, mangsa Ikoben meminta mahkamah mempertimbangkan rayuannya membebaskan tertuduh dengan alasan dia mahu mengahwini tertuduh.
Dibebas
“Namun perkahwinan itu tidak dapat dilakukan sehingga dia dibebaskan dari penjara,” katanya.
Mangsa juga merayu kepada polis supaya menarik balik kes rogol yang dilaporkan di balai polis Bodh Gaya.
Laporan mengatakan mangsa meminta tertuduh dibebaskan dari penjara selepas jaminan bahawa dia akan mengahwini wanita itu selepas dibebaskan.
Perkahwinan itu perlu dilakukan segera sebelum tempoh visa mangsa tamat tempoh.
Mangsa ketika ini bekerja dalam satu projek kerajaan Amerika di Afghanistan dan berkawan dengan tertuduh ketika berkenalan di ruang sembang Facebook.
Naik teksi
Awal tahun ini, wanita Filipina itu menuduh lelaki terbabit menjemputnya ke Bihar dan kemudian merogolnya di sebuah hotel di bandar Bodh Gaya.
Menurut mangsa, sejurus selepas dia sampai ke Patna pada 29 Disember lalu, tertuduh membawanya ke Bodh Gaya dengan menaiki teksi.
- AGENSI
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan