Pelakon Hairie Othman Akui Kerjaya Seni Berakhir Selepas Sertai Politik
Tweet
Hairie Othman
KUALA LUMPUR: Pelakon Hairie Othman mengakui kerjaya lakonannya sudah berakhir selepas mengambil keputusan untuk menyertai parti politik Pas sejak dua tahun lalu.
Hairie, 42, berkata, biarpun pihak stesen televisyen tidak pernah menyenarai hitamkan namanya namun kebanyakan pengarah dan penerbit masih mengamalkan diskriminasi terhadap parti politik.
"Saya sedar kerjaya saya memang sudah tamat selepas terlibat dengan politik dan menyertai Pas tapi perkara itu saya sudah fikirkan sebelum saya mengambil keputusan tersebut.
"Saya harap kerajaan negeri Kelantan dan pemimpin Pas dapat membantu artis-artis yang menerima nasib yang sama seperti saya, yang mana pendapatan saya semakin terdesak ketika ini," katanya ketika berucap pada Majlis Ramah Mesra Kerajaan Negeri Kelantan Bersama Selebriti, di sini, Ahad.
Turut hadir, Mursyidul Am Pas,Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob dan Timbalan Menteri Besar Kelantan, Datuk Nik Mohd Amar Nik Abdullah.
Majlis bersama selebriti ini adalah bagi meraikan para selebriti yang pernah membuat persembahan atau bekerjasama dengan Kerajaan Negeri Kelantan sejak tahun 2008 hingga 2013.
Tambah Hairi, pihak parti tidak hanya menggunakan selebriti dalam program ceramah dan kempen pilihan raya semata-mata.
"Sebagai pelakon cabang saya agak kecil berbanding penyanyi nasyid yang boleh membuat persembahan di majlis-majlis.
"Saya tidak mahu kami hanya digunakan untuk tujuan kempen atau ceramah sahaja tetapi banyak lagi khidmat yang boleh diberikan terutamanya dari segi kemasyarakatan," katanya.
Sementara itu, Wardina Safiyyah,32, yang turut berucap berkata, kapasiti sebagai selebriti memberi kelebihan kepadanya untuk berdakwah.
"Secara realitinya dunia seni tidak begitu cantik dan tidak sesuai lagi dengan jiwa saya.
"Namun begitu saya gunakan status selebriti ini untuk menyedarkan manusia untuk kembali semula ke jalan Allah," katanya.
Wardina berkata, dengan kesedaran itu dia menubuhkan sebuah badan bukan kerajaan (NGO) Mizan yang bertindak memberi khidmat nasihat kepada wanita.
Dalam pada itu, Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yaakob berkata pihaknya akan merancang untuk membina sebuah Akademi Seni Islam bagi membantu penggiat seni.
"Kerajaan Kelantan sedar dengan kepentingan seni dan selebriti bagi membantu membangunkan negara Islam kerana Islam itu sendiri adalah seni," katanya.
Antara selebriti yang hadir ialah Mustafa Kamal, Noryn Aziz, Bob Lokman, Yatt, Akhil Hay, Wahida, Rabbani dan Ainan Tasneen.
Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan