Fizo Omar dan Mawar Nikah 10hb November Depan
Tweet
Fizo Omar
PETALING JAYA: Teka teki mengenai tarikh pernikahan pelakon Fizo Omar dengan anak kepada pengasas tudung jenama Fareeda iaitu Mawar Abdul Karim, 24, terjawab apabila pasangan itu mengesahkan untuk melangsungkannya pada 10 November depan.
Fizo atau nama sebenarnya Wan Hafizol Wan Omar, 28, berkata, majlis akad nikah akan diadakan pada tarikh berkenaan di rumah keluarga perempuan iaitu di Country Heights, Kajang dekat sini.
“Majlis nikah akan diadakan pada pukul 9 pagi dan akan disiarkan secara langsung menerusi slot Nasi lemak Kopi O di TV9. Majlis bertunang pula akan diadakan sehari sebelum majlis nikah iaitu pada 9 November,” ujarnya yang juga pengacara rancangan itu.
Terdahulu Fizo melakukan gimik dengan melamar Mawar, 24, di panggung wayang Cathay @e-curve, Damansara di sini kira-kira pukul 12.30 tengah hari Isnin sambil disaksikan oleh pihak media.
Kejutan itu turut disaksikan oleh ahli keluarga kedua-dua belah pihak dan kenalan rapat pasangan itu.
Dalam perkembangan sama, Fizo berkata, mereka mengambil keputusan untuk bertunang terlebih dahulu atas permintaan keluarga yang ingin mengikut adat Melayu.
Jelas Fizo, majlis khatam Al-Quran dan berinai juga turut diadakan selepas selesai majlis pertunangan yang hanya akan dihadiri oleh keluarga pihak perempuan.
"Saya dan Mawar sebenarnya tidak mahu bertunang dan terus bernikah tetapi atas menghormati permintaan keluarga kami bersetuju tambahan pula ini adalah perkahwinan pertama dalam keluarga bakal isteri saya," katanya.
Bercakap mengenai kejutan yang dibuat kepada Mawar, Fizo berkata, idea berkenaan dirancang dalam masa tiga hari dan dia sempat mengarahkan sebuah video pendek untuk kekasih hatinya itu yang diberi judul Paranormal.
Fizo berkata, ia adalah sebagai salah satu hadiah kepada Mawar sebelum mereka melangkah ke alam perkahwinan sebelum ini.
"Saya juga pilih untuk membuat kejutan di panggung wayang kerana saya adalah seorang pelakon dan ini adalah kehidupan saya yang ingin saya kongsi bersama Mawar.
"Lega rasanya apabila pelan melamarnya menjadi kerana bimbang juga jika 'terkantoi'," katanya.
Mawar ketika ditemui berkata, dia tidak menyangka Fizo akan melakukan kejutan itu kerana pada awalnya teman lelakinya mengajaknya menghadiri sebuah sidang media sebelum mengambil keputusan untuk menonton wayang.
Jelas Mawar, dia mula merasakan sesuatu bakal berlaku apabila muncul sebuah video lakonan Fizo bersama pelakon cilik Mia Sara di skrin panggung yang berkisar mengenai hubungan mereka.
"Memandangkan sidang media itu berlangsung pada sebelah petang Fizo mengajak saya menonton wayang terlebih dahulu dan saya langsung tidak mengesyaki apa-apa.
"Tiba-tiba video itu keluar dan Fizo yang kononnya keluar untuk ke tandas telah muncul daripada hadapan panggung membawa sejambak bunga dan melamar saya," katanya.
Tambah Mawar, dia sangat terharu dengan kesungguhan lelaki itu walaupun perbincangan tentang perkahwinan mereka telah dibuat lebih awal.
"sudah tentu saya kata 'ya' kepada lamarannya kerana persiapan telah pun bermula tetapi kesungguhannya amat menyentuh hati saya," jelasnya lagi.
Sementara itu, Fizo berkata, persiapan perkahwinan mereka sedang berjalan walaupun masing-masing sibuk dengan pelbagai komitmen.
"Walaupun kami jarang berjumpa tetapi kami sering berhubung antara satu sama lain dan urusan mengenai majlis pertunangan dan perkahwinan tetap berjalan walaupun kami tidak bertemu," jelasnya.
Keluarga Fizo pada 28 Ogos lalu telah menghantar rombongan merisik Mawar selepas hampir setahun berkenalan.
Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan