Pahang Julang Piala Sumbangsih 2014
Tweet
Pemain Pahang, Matias Ruben Conti (kiri) cuba mendapatkan bola dalam perlawanan Piala Sumbangsih di antara Pahang dan Lion XII di Stadium Darul Makmur, Kuantan, malam Jumaat
JUARA Piala Malaysia musim lalu, Pahang memulakan kempen Liga Super 2014 dengan langkah kanan.
Skuad Tok Gajah memenangi perlawanan Sumbangsih bagi merangkul Piala Sultan Ahmad Shah selepas menewaskan juara Liga Super 2013, Lions XII 1-0 pada aksi pembukaan tirai kempen Liga Malaysia (Liga M) di Stadium Darul Makmur, Kuantan malam tadi.
Penyerang sensasi skuad Tok Gajah, Matias Ruben Conti menjaringkan gol kemenangan Pahang pada minit ke-57.
Conti turut menjaringkan gol kemenangan 1-0 Pahang ke atas Kelantan pada final Piala Malaysia tahun lalu.
Beraksi di hadapan 35,000 penyokong sendiri, Pahang tampil cemerlang dan melakukan asakan bertali arus di hadapan pintu gol Singapura seawal minit pertama perlawanan.
Penyerang berbisa, Dickson Nwakame berjaya meloloskan diri untuk memasuki kawasan penalti Lions XII, namun hanya mampu membuat tolakan lemah setelah dikepung tiga orang pemain lawan sebelum mudah dibaca penjaga gol, Mohd. Izwan Mahbub.
Kecederaan yang dialami Nwakaeme memaksa jurulatih membuat pertukaran pemain seawal minit ke-14, namun kemasukan penggantinya, Conti tidak menjejaskan serangan Pahang.
Sebaliknya, skuad Tok Gajah terus membuat beberapa percubaan bahaya yang menguji kekebalan pertahanan Lions.
Conti, Zeshan Rahman Damian, Azamudin Mohd. Akil dan Gopinathan memperoleh peluang untuk membuka tirai jaringan, namun kesemua percubaan mereka tersasar atau berjaya diselamatkan Izwan.
Lions XII hanya berpeluang memegang bola sekali-sekala, namun masih berjaya menguji pertahanan Pahang dan penjaga gol, Mohd. Khairul Azhan dengan serangan balas pantas dan bertentangan dengan arus permainan.
Aksi separuh masa pertama berkesudahan tanpa jaringan dan sebaik sahaja masuk separuh masa kedua, pasukan pelawat mula mendapat rentak serta mempemerkan aksi yang lebih baik.
Bagaimanapun, cubaan Azamuddin pada minit ke-56 gagal ditampan kemas oleh Izwan dan Conti berjaya menyambar bola yang dimuntah di hadapannya untuk menjaringkan gol kemenangan.
Gol tersebut menjadi hadiah terbaik untuk Conti yang menyambut hari jadinya ke-24 semalam.
Jaringan tersebut gagal dipadam Lions XII dan barisan pertahanan Pahang yang diketuai Rehman berjaya mematahkan setiap serangan pasukan pelawat.
Conti memperoleh beberapa peluang keemasan untuk menggandakan jaringan, namun gagal disudahkan penyerang dari Argentina itu.
Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan