Dengusan bawah tangga
Tweet
SEORANG GRO yang ditemui di tempat simpanan minuman.
Sabak Bernam: Dengusan yang terlalu kuat dari bawah tangga yang menjadi ruang simpanan pelbagai minuman di sebuah pusat hiburan di sini membongkar kehadiran sekumpulan wanita warga asing yang cuba menyembunyikan diri daripada diberkas pihak berkuasa dalam satu serbuan awal pagi semalam.
Pihak berkuasa yang curiga dengan bunyi berkenaan menjalankan pemeriksaan sebelum menemui dua wanita yang bersembunyi di sebalik rak minuman dan wanita berkenaan dipercayai cuba mengelak daripada ditahan dalam serbuan sepasukan anggota polis dari cawangan Pencegahan Kongsi Gelap, Maksiat dan Perjudian, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sabak Bernam.
Ketua Polis Daerah Sabak Bernam Superintendan Noor Mushar Muhammad berkata, serbuan dilakukan di sebuah pusat hiburan di Sungai Besar, dekat sini, membabitkan penahanan sembilan gadis pelayan pelanggan (GRO) warga asing.
Menurutnya, serbuan bermula jam 1 pagi membabitkan empat anggota diketuai Inspektor S Subramaniam dan mereka yang ditahan berusia antara 20 dan 35 tahun.
“Serbuan dilakukan selepas polis menerima aduan daripada orang ramai berkaitan aktiviti pusat hiburan berkenaan yang didapati masih berdegil dan tetap beroperasi walaupun kerap diserbu dan kali terakhir serbuan dilakukan pada Mac lalu.
“Ketika serbuan, semua GRO berkenaan leka melayan pelanggan yang berhibur di premis itu dan mereka terkejut sejurus menyedari kehadiran anggota polis hingga ada antaranya menyorok dalam usaha meloloskan diri.
“Ada yang sanggup menyorok di bawah tangga dalam keadaan bersesak dan ada yang cuba memanjat siling, namun usaha itu sia-sia kerana mereka akhirnya diberkas,” katanya.
Noor Mushar berkata, ketika serbuan dilakukan, terdapat 10 pelanggan yang asyik berkaraoke sambil menerima layanan mesra GRO dan mereka sudah diambil keterangan bagi membantu siasatan.
“Semua wanita yang ditahan didapati menyalahgunakan pas lawatan sosial dan bekerja tanpa permit yang sah dan mereka dibawa ke IPD Sabak Bernam untuk tindakan susulan,” katanya.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 55(b) Akta Imigresen, Seksyen 39(b) Peraturan-peraturan Imigresen dan Seksyen 11(2) Enakmen Hiburan dan Tempat-tempat Hiburan 1997.
Sumber myMetro
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan