Potong tangan sendiri
Tweet
Read more...
GODDARD dengan tangan kirinya yang sudah kudung.
Devon, England: Seorang lelaki yang pernah terbabit dalam kemalangan motosikal memotong pergelangan tangannya yang tercedera akibat kejadian itu menggunakan gilotin buatan sendiri dengan harapan dapat menghilangkan kesakitan yang ditanggung sejak 16 tahun lalu.
Mark Goddard, 44, melakukan perkara itu kerana Perkhidmatan Kesihatan Kebangsaan England (NHS) enggan melakukannya.
Dia yang terdesak turut membakar pergelangan tangan itu supaya doktor tidak boleh menyambungnya semula.
Bapa seorang anak itu mengambil masa dua minggu untuk menyiapkan pemotong buatan sendiri berkenaan menggunakan kapak, beberapa spring dan pintu pagar lama.
Malangnya, ‘pembedahan’ yang dilakukannya tanpa bius itu gagal menghilangkan kesakitan yang ditanggungnya sejak berusia 28 tahun.
GILOTIN buatan sendiri yang digunakan Goddard.
Goddard yang berasal dari Newton Abbot itu kini memberitahu hospital tempatan jika mereka enggan memotong lengannya sebelum Disember nanti, dia akan melakukannya sendiri.
Dia mula mengalami kesakitan itu selepas terbabit dalam kemalangan motosikal pada 1998 yang menyebabkan saraf tangannya rosak.
Namun doktor enggan melakukan pembedahan seperti dimintanya kerana menyifatkan tangannya berkeadaan baik.
“Saya sepatutnya tidak bertindak melampau untuk mengakhiri kesakitan ini. Masih ada alternatif lain iaitu melakukannya di hospital, tetapi tiada sesiapa sudi membantu saya. Jadi saya lakukannya sendiri.
“Saya memotong pergelangan tangan saya kerana pihak hospital memberitahu mereka tidak boleh memotong tangan saya disebabkan kerana ia dalam keadaan baik. Kini mereka tiada sebab untuk tidak menjalankan pembedahan ini,” katanya.
Isterinya sangat terkejut melihat kejadian itu ketika pulang ke rumah 10 minit kemudian dan mendapati suaminya sedang membakar bahagian yang sudah dipotong itu.
Dia segera menghubungi paramedik dan ketika mereka sampai bersama polis, pergelangan tangan suaminya tidak dapat diselamatkan lagi.
- Agensi