Info kesihatan,Perangsang seks dalam kopi bawa maut
Tweet
Read more...
KUALA LUMPUR: Minuman kopi dicampurkan dengan perangsang seks seperti Sildenafil ibarat membeli 'Viagra tanpa preskripsi doktor.'
Penggunaan bahan yang diklasifikasikan racun berjadual itu akan membahayakan nyawa pengguna sehingga boleh membawa maut.
Sumber Kementerian Kesihatan berkata, kes seorang pegawai keselamatan yang dilaporkan maut Ahad lalu, selepas minum kopi campuran tradisional, dipercayai mengandungi racun berjadual Sildenafil Analog.
Katanya, jenama kopi itu juga disahkan antara 129 produk dikesan mengandungi bahan terlarang yang diharamkan penjualan di pasaran.
Daripada jumlah itu, termasuk 81 diklasifikasikan sebagai produk berasaskan makanan yang dicampur palsu dengan perangsang seks, 26 produk dicampur palsu dengan agen pelangsing seperti Sibutramine dan tiga produk diklasifikasikan sebagai produk berasaskan makanan yang dicampur palsu dengan Steroid.
"Kopi jenama itu memang sah mengandungi Sildenafil Analog. Ia (Sildenafil Analog) ibarat Viagra, tapi Viagra memerlukan preskripsi doktor dan dikawal penggunaannya.
Tiada kajian dilakukan
"Sildenafil Analog ini sebahagian daripada molekulnya diubah dan berbahaya. Kajian tak dilakukan dan kita tidak tahu kesannya, tetapi dicampurkan dalam kopi sebelum dijual. Ini yang bahaya," katanya kepada BH ketika mengulas mengenai insiden di Kampung Baru Subang itu.
Media semalam melaporkan mangsa berusia 36 tahun mengambil minuman itu yang dibancuh isterinya sebelum tidur Ahad lalu.
Mangsa mengalami muntah berulang kali dan sesak nafas kira-kira dua jam kemudian sebelum disahkan meninggal dunia.
Sumber berkata, pihak menjual minuman yang dilarang penjualannya selepas disahkan mengandungi bahan terlarang, boleh dikenakan tindakan di bawah Akta Racun 1952.
Katanya, minuman kopi campuran itu kebiasaannya dijual lebih mahal daripada kopi biasa, malah mencecah RM10 sepaket.
"Apa dibimbangkan, penjualannya secara terbuka dalam kalangan orang tua dan muda. Kesannya bahaya tetapi permintaannya tinggi," katanya.
Bahan kimia terlarang itu boleh memberi kesan buruk seperti pendarahan dalaman, sakit buah pinggang, mata kabur dan menyebabkan pelbagai penyakit berbahaya.
BH