Bolasepak Euro 2012 : Cristiano Ronaldo cakap besar
Tweet
RONALDO (tengah) menganggap Portugal sebagai calon ke final Euro 2012.
DONETSK, Ukraine – Pemain bintang Portugal, Cristiano Ronaldo mula bercakap besar.
Semalam, bintang Real Madrid itu memberitahu, pasukannya lebih layak mara ke final Euro 2012 berbanding Sepanyol.
Kedua-dua pasukan bakal berentap di Donbass Arena, Donetsk awal pagi Jumaat ini, namun Ronaldo percaya pasukannya memiliki kelebihan untuk menyambar slot ke final.
Sebelum ini, Ronaldo berjaya menutup mulut pengkritik apabila kembali bangkit mempamerkan aksi sebenar termasuk ketika meledak gol tunggal perlawanan semasa menjinakkan Republik Czech dalam aksi suku akhir awal pagi Jumaat lepas.
Ketika ini, Ronaldo muncul penjaring terbanyak kempen dengan tiga gol bersama penyerang Jerman, Mario Gomez, Mario Mandzukic (Croatia) dan Alan Dzagoyev dari Rusia.
Dia sebelum ini gagal menemui sentuhan penyudah dalam dua perlawanan terawal peringkat Kumpulan B menentang Jerman dan Denmark sebelum kembali bangkit meledak dua gol ketika menentang Belanda.
“Sebagai pemain bintang, anda pastinya berdepan tekanan yang lebih besar.
“Kamu tidak boleh memuaskan hati semua orang, tetapi saya langsung tidak mempedulikan kritikan tersebut.
“Apa yang saya tahu ialah beraksi seperti biasa dan itulah yang saya lakukan,” katanya.
Menurut Ronaldo, dia optimis kemampuan Portugal menyambar slot final sekali gus mengulangi pencapaian mereka semasa menjadi tuan rumah ketika edisi 2004.
“Mengapa tidak? Kami telah melangkah sejauh ini jadi sudah tentu kami mengidam aksi di final.
“Bukan mahu memperlekehkan mana-mana pasukan (termasuk Sepanyol), tetapi saya percaya Portugal memiliki ramuan secukupnya untuk bergelar juara kali ini,” tegasnya.
Pada masa sama, Ronaldo juga menyifatkan kebangkitannya kali ini berpunca daripada jurulatihnya di Real, Jose Mourinho.
“Saya sukakan Mourinho kerana beliau selalu melawak bersama pemain.
“Tetapi apabila ia berkaitan perlawanan, Mourinho seorang yang cukup serius sebenarnya.
“Jadi, saya tidak malu berkongsi pendapat dengannya setiap kali saya diselubungi masalah,” katanya. – Agensi
* Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan