Gempa bumi 6.4 skala Richter gegarkan Aceh
Tweet
JAKARTA – Gempa bumi berkekuatan 6.4 pada skala Richter menggegarkan kawasan Simeulue, Aceh pagi ini, namun pihak berkuasa menyatakan kejadian itu tidak membawa ancaman tsunami.
Laporan awal menyebut gegaran turut dirasakan penduduk di Banda Aceh dan di beberapa kawasan di Sumatera Utara.
Badan Meteorologi, Klimatologi dan Geofisika (BMKG) Indonesia melaporkan gempa bumi pada pukul 7.27 pagi itu berpusat di 24km ke barat daya daerah Simeulue, 317km ke barat daya Medan, Sumatera Utara dan 1,546km ke barat laut Jakarta.
Menurut laporan laman web BMKG, gempa bumi itu berkedalaman 10km.
Belum ada laporan kemalangan jiwa dan kerosakan harta benda berikutan kejadian itu.
– BERNAMA
Gempa bumi: Gegaran turut dirasai di P Pinang
GEORGETOWN – Gempa bumi yang menggegarkan Simeulue, Sumatera Utara, Indonesia pagi ini turut dirasai penduduk di negeri ini.
Tinjauan Bernama mendapati penduduk terutama yang tinggal di pangsapuri, mengadu kediaman mereka bergegar selain mengalami rasa pening.
Manisah Hamid dari flat Taman Bukit Jambul berkata, gegaran dirasai selama beberapa saat.
"Saya rasa pening dan lantai rumah macam bergegar tetapi sekejap sahaja,” katanya yang tinggal di tingkat 12 flat tersebut, kepada Bernama.
Sementara itu, Jabatan Meteorologi Malaysia dalam kenyataan di sini, berkata, jabatan tersebut menerima tiga laporan gegaran daripada penduduk yang tinggal di Butterworth dan sekitar Georgetown.
Jabatan itu melaporkan gempa dengan kekuatan 6.6 pada skala Richter menggegarkan Simeulue pada pukul 8.27 pagi waktu Malaysia dan pusat gempa terletak 25km dari tenggara Simeulue dan 547km dari barat daya Lumut, Perak.
– BERNAMA
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan