Katy Perry hodoh tanpa mekap
Tweet
ANTARA adegan dalam filem Katy Perry: Part of Me yang akan ditayangkan pada 30 Ogos ini.
DIA ingin menjadi inspirasi kepada khalayak. Itu pengakuan penyanyi yang kini bergelar pelakon, Katy Perry.
Melalui Katy Perry: Part of Me, selebriti itu bakal bertemu peminat pada 30 Ogos ini. Dua sutradara iaitu Dan Cutforth dan Jane Lipsitz terlibat dalam pembikinan filem yang bertemakan muzikal dan biografi ini.
Katy Perry sebagai tunjang utama filem selama dua jam ini mempamerkan lakonan secara bersahaja.
Filem dokumentari ini merupakan sebuah naratif perjalanan konsert jelajah Katy Perry yang berakhir awal tahun ini.
"Dalam perjalanan hidup saya, kalian akan melihat saya tidak berubah dan tidak pernah menyerah demi meraih impian," ujar Katy dalam satu temu ramah bersama MTV News.
Katy berharap para peminatnya akan mendapat inspirasi selepas menyaksikan filem itu.
Dia memilih untuk menjadi dirinya sendiri apabila memasukkan adegan polos tanpa solekan.
"Kalian bukan selalu dapat melihat saya tanpa solekan malah, tampil begitu tidak menjadi masalah buat saya," tutur Katy sambil menyindir bahawa begitu banyak kepalsuan di Hollywood.
Para peminat dunia muzik terutamanya pencinta setia Katy Perry pasti masih ingat dengan emosi Katy yang meledak lantaran bekas suaminya, Russell Brand, menyebarkan gambar Katy dalam keadaan tanpa secalit solekan di laman Twitter.
Peristiwa itu sempat membuahkan kemarahan Katy.
Ironinya, kini keadaan itu terbalik 180 darjah. Bintang berusia 27 tahun itu malah menampilkan dirinya dalam kecantikan tanpa solekan dalam Part of Me, tanpa perasaan ragu atau malu.
"Ketika melihat filem ini, mungkin orang akan takut melihat wajah saya yang sedikit bengkak kerana jerawat.
"Saya rasa anggapan bahawa mimpi hanya dapat dicapai dengan kesempurnaan perlu ditinggalkan kerana itu cuma wujud dalam fantasi.
"Jadi, saya mengambil keputusan untuk memasukkan semua elemen itu ke dalam filem ini," ungkap Katy.
Dalam kesibukan mempromosikan filem perdananya, Katy Perry sempat merawat luka perceraiannya dengan jejaka baharu dalam hidupnya. Lelaki itu bukan calang-calang kerana namanya John Mayer.
Penyanyi dan komposer kacak yang berbakat besar itu dikatakan menjalin hubungan dengan Katy sekarang.
Bagaimanapun, jurucakap John menyangkal khabar angin tersebut. Kedua-dua pemuzik dan penyanyi itu dilihat makan malam bersama di Chateau Marmont, Los Angeles, Amerika Syarikat (AS) pada Julai lalu.
Satu sumber mengatakan, pasangan itu tampak sangat akrab dan romantis pada malam itu. Tidak hanya ketawa bersama, mereka juga berpegangan tangan dan sesekali melepaskan ciuman.
Memang ini bukan pertama kali pasangan itu menikmati makan malam bersama. Pada 19 Jun lalu, mereka kelihatan berjalan berdua-duaan di Soho House, West Hollywood, AS.
* Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan