Rangka 'perisik' ditemukan
Tweet
SURREY 4 Nov. - Rangka seekor burung merpati yang ditugaskan menghantar mesej ketika Perang Dunia Kedua ditemukan oleh seorang warga emas baru-baru ini, bersama satu kapsul kecil yang mengandungi kod rahsia pada pergelangan kakinya.
David Martin menunjukkan rangka burung merpati dipercayai ditugaskan menghantar mesej ketika Perang Dunia Kedua yang ditemukan di tempat pendiang api rumahnya. - AGENSI
David Martin, 74, menemukan rangka burung itu ketika dia merancang untuk menggunakan semula tempat pendiang api yang sudah lama tidak digunakan, ketika melakukan pengubahsuaian kediamannya.
Pakar percaya, burung itu sedang terbang beratus-ratus kilometer daripada kawasan yang diduduki tentera Nazi untuk pulang ke ibu pejabat perisikan Britain yang terletak di Reigate, Surrey atau di Bletchley Park di Buckinghamshire.
Disebabkan keletihan, 'perisik' tentera Britain itu berehat sebentar pada serombong kediaman tersebut, malangnya terjatuh ke dalam tempat pendiangan api dengan mesej berkod di dalam kapsul kecil terlekat pada kakinya.
"Serombong itu dipenuhi dengan sampah dan sarang labah-labah. Saya terperanjat apabila menemukan cebisan rangka burung merpati dan kemudian cuba mengumpul bahagian-bahagiannya.
"Pada mulanya saya menjangkakan burung itu digunakan bagi tujuan perlumbaan sehinggalah saya ternampak kapsul merah pada pergelangan kakinya," katanya.
Selepas membuka kapsul itu, Martin dan isterinya, Anne, menemukan mesej tulisan tangan pada kertas nipis yang biasa digunakan pada bungkusan rokok.
Mesej itu sudah dihantar ke Bletchley Park, yang berfungsi menterjemah kod Nazi sejak dulu dengan kerjasama ibu pejabat komunikasi Britain di Cheltenham, Gloucestershire, yang cuba mentafsir maksud mesej tersebut.
Pakar berkata, burung tersebut terlibat dalam operasi khas yang melakukan misi sabotaj seperti meletupkan rel kereta api, jambatan dan kilang yang diduduki tentera Jerman.
Mesej itu ditulis oleh Sarjan W Stott dan mengandungi beberapa gabungan kod yang mengandungi lima huruf.
Dipercayai sebanyak 250,000 burung merpati telah digunakan ketika perang itu meletus, kerana ia mampu terbang dengan pantas beratus-ratus kilometer termasuk melintasi kawasan musuh. - AGENSI
* Sumber Utusan
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan