Harga santan RM12 sekilogram?
PULAU PINANG 23 Nov. - Peniaga santan di negeri ini mungkin menaikkan harga jualan sehingga 100 peratus berikutan kekurangan bekalan kelapa sejak seminggu lalu.
Berdasarkan harga semasa, santan dijual RM6 sekilogram dan jika harga meningkat sekali ganda, pengguna terpaksa membayar RM12.
Peniaga santan di Sungai Ara di sini, Jalal Din, 47, berkata, bekalan kelapa semakin berkurangan selepas Hari Raya Aidiladha.
Dia dimaklumkan oleh pemborong bahawa bekalan semakin sukar diperoleh daripada pengedar di negara jiran Indonesia dan Thailand.
Justeru, dia tidak menolak kemungkinan harga santan melambung naik dalam masa terdekat jika keadaan itu berterusan.
"Hampir seminggu sejak Hari Raya Haji, bekalan kelapa susah nak dapat. Tahun-tahun lalu, masalah sebegini sekejap saja berlaku tapi tahun ini ia berpanjangan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Masalah kekurangan bekalan kelapa di negeri ini berlarutan sejak bulan puasa lalu.
Akibatnya, para peniaga terpaksa menjual santan pada harga RM6 sekilogram berbanding sebelumnya RM4.20 manakala isi kelapa yang belum diparut RM3.40 (sebelumnya RM1.80), kelapa parut RM4 (RM3.50) dan kelapa biji RM1.60 (80 sen).
Jalal menambah, dia difahamkan oleh pembekal bahawa ketiadaan pekerja di ladang kelapa kerana cuti Hari Raya Haji menyebabkan bekalan sukar diperoleh di pasaran.
*** Hah~..sama naik dengan harga getah pulak dahh...