Wanita Malaysia diburu kes tipu bencana tsunami
Tweet
SEOUL - Polis Korea Selatan semalam menyatakan pihaknya menangkap seorang wanita Indonesia kerana disyaki melakukan penipuan berhubung kematian akibat bencana gempa bumi dan tsunami yang melanda Jepun pada Mac tahun lalu.
Polis turut meminta Interpol menahan tiga suspek lain iaitu seorang wanita Malaysia berusia 33 tahun, seorang rakyat Nigeria dan seorang lelaki warga Amerika Syarikat.
Pada tahun lalu, wanita Malaysia itu menghantar e-mel kepada seorang lelaki warga Korea Selatan menerusi sebuah laman sahabat pena.
Wanita itu mendakwa dia bekerja untuk sebuah bank di Malaysia.
Dia memberitahu seorang klien Jepun yang mempunyai deposit sebanyak AS$4.2 juta (RM13.3 juta) di tempat kerjanya terbunuh dalam bencana tsunami bersama semua anggota keluarganya.
Wanita berkenaan kemudian mencadangkan lelaki tersebut supaya menyamar sebagai seorang saudara klien itu untuk menuntut wang dan berkongsi habuan dengannya.
Menurut polis, wanita tersebut kemudian memperoleh wang sebanyak AS$96,000 (RM305,904) yang diberikan oleh rakyat Korea Selatan.
Rakyat Korea Selatan itu memberikan wang itu kerana wanita Malaysia tersebut mendakwa ia diperlukan bagi memalsukan dokumen bank dan keluarga si mangsa.
Namun, lelaki itu telah membuat laporan kepada polis Korea Selatan pada April lalu.
Warga Korea itu kemudian meminta seorang wanita Indonesia berusia 33 tahun yang menjadi orang tengah sindiket tersebut supaya datang ke Seoul dengan menjanjikan lebih banyak wang akan diberikan.
Polis kemudian menahan wanita berkenaan pada 4 Julai lalu.
Katanya, lelaki Korea Selatan itu tidak akan ditangkap kerana dia tidak melakukan sebarang jenayah.
Dianggarkan 19,000 orang mati dalam bencana gempa bumi dan tsunami di timur laut Jepun pada 11 Mac 2011. - AFP
* Sumber
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan