#PRU13 : Ibu Menangis, Berdoa Anak Kalah Kerana Jadi Calon PKR
Tweet
Sunah Omar (kanan) menangis kerana kecewa dengan anaknya, Sitarunishah Ab Kadir bertanding menjadi calon PKR, DUN Chini.
PEKAN: Kemelut Parti Keadilan Rakyat (PKR) Pahang semakin meruncing apabila ibu kepada seorang calonnya di Pahang, tidak merestui anak perempuannya, Sitarunishah Ab Kadir bertanding pada Pilihan Raya Umum ke 13 (PRU-13) pada 5 Mei ini.
Sunah Omar, 61, berkata dia sedih dan kecewa apabila mengetahui anaknya yang selama ini anggota Umno tiba-tiba menjadi calon PKR bagi kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini menentang penyandang kerusi DUN itu daripada Barisan Nasional (BN), Datuk Abu Bakar Harun.
Sunah memberitahu sidang media di sini pada Ahad, tindakan anak sulung daripada lima beradik itu membuatkan dia dan suaminya, Abdul Kadir Zakaria, 63, kecewa kerana selama ini Umno dan BN banyak membantu masyarakat peneroka di Felda Chini Timur 3 di sini.
"Mula-mula saya sudah dengar khabar angin apabila kalangan jiran menyindir anak saya jadi calon PKR.
Semasa hari penamaan calon di Dewan Konvensyen Sultan Ahmad Shah, Pekan, saya menggigil menahan kemarahan apabila mengetahui anak saya diumumkan sebagai calon PKR di DUN Chini.
"Saya cukup kecewa dengan tindakan anak saya itu kerana penyandang kerusi tersebut, Datuk Abu Bakar Harun bersama ahli Umno banyak membantu masyarakat peneroka termasuk keluarga saya," katanya.
Sunah yang menyertai Umno sejak berusia 21 tahun dan kini anggota Pergerakan Wanita Umno, Felda Chini Timur 3 berkata anaknya itu yang tinggal di Kuantan bersama suaminya tidak pulang ke rumah di sini sejak empat bulan lepas.
"Dia ada meminta restu saya selepas hari penamaan calon. Saya kata tidak dan berdoa supaya dia kalah di kerusi DUN ini.
"Sepatutnya dia bersyukur kerana kerajaan BN dan Umno telah banyak membantu masyarakat peneroka di sini termasuk keluarga saya," katanya.
Sunah berkata suaminya, Ab Kadir yang kini sakit akibat serangan angin ahmar sejak 12 tahun lepas hanya mampu menangis memikirkan tindakan anaknya itu.
"Saya bersama suami serta empat anak lain akan tetap menyokong BN dan saya sanggup turun padang membantu jentera Umno mempertahankan kerusi DUN Chini," katanya.
-BERNAMA ( mStar Online )
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan