Pencipta AK-47 bimbang ramai mati kerana senjatanya
Tweet
MOSCOW - Pencipta senapang AK-47, Mikhail Kalashnikov pernah menulis surat kepada ketua gereja di Rusia sebelum dia meninggal dunia dengan melahirkan kebimbangan bahawa senjata berkenaan telah membunuh ramai manusia, lapor akhbar Izvestia.
"Penderitaan jiwa yang saya alami tidak dapat ditanggung lagi," katanya dalam sepucuk surat kepada ketua gereja Rusia, Patriarch Kirill.
"Satu persoalan yang sering bermain dalam fikiran saya adakah senapang saya yang telah membunuh ramai manusia akan menjadikan saya seorang penganut agama Kristian yang bertanggungjawab terhadap kematian mereka walaupun mereka merupakan musuh?'' ujarnya.
Seorang jurucakap gereja itu mengesahkan menerima surat berkenaan yang ditulis kira-kira enam bulan sebelum kematian Kalashnikov.
Dia meninggal dunia pada 23 Disember lalu ketika berusia 94 tahun.
Kalashnikov semasa hayatnya sering berkata, beliau bangga dengan ciptaannya itu tetapi kesal senjata tersebut sering digunakan oleh penjenayah dan tentera kanak-kanak.
Senapang AK-47 murah untuk dihasilkan dan mudah pula diselenggara merupakan senjata paling banyak membunuh manusia berbanding senjata api yang lain.
Pada tahun 2009, Kalashnikov berkata, senapang yang direka pada tahun 1947 itu dihasilkan bagi tujuan mempertahankan sempadan negara ini.
- Reuters
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan