Nenek sunyi dicekup berjudi di ladang sawit
Tweet
imej google
Bera: Akibat tinggal di rumah kerana tiada sanak-saudara pulang sempena sambutan Tahun Baru Cina, seorang nenek berusia 65 tahun bertindak menghiburkan hati dengan menyertai sindiket perjudian di dalam ladang kelapa sawit di Perkampungan Kerayong Selatan, dekat sini, malam kelmarin.
Bagaimanapun, hasrat warga emas itu untuk berhibur tidak kesampaian apabila dia dicekup bersama 13 lagi kaki judi dalam serbuan polis kira-kira jam 8.30 malam.
Serbuan itu diketuai Inspektor Mohamed Izawan Zakariah bersama sepasukan anggotanya daripada Cawangan Perjudian, Kongsi Gelap dan Maksiat (D7), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang, hasil maklumat awam.
Pegawai Turus D7 Deputi Superintendan Azlihan Ishak berkata, sebelum serbuan, polis membuat intipan dan mengepung kawasan ladang kelapa sawit itu bagi mengelak semua kaki judi melarikan diri.
Menurutnya, sebaik saja serbuan dilakukan, nenek terbabit bersama kaki judi lain cuba memboloskan diri di kawasan ladang kelapa sawit namun gagal kerana sudah dikepung.
Katanya, ketika pemeriksaan dijalankan, polis merampas wang tunai berjumlah RM5,000 daripada setiap pemain dan beberapa keping cip digunakan untuk berjudi.
“Pada masa sama, polis turut menemui sekeping nota tercatat ‘tidak boleh letak wang, hanya cip saja’ namun percaya itu hanya taktik untuk mengelirukan polis.
“Siasatan awal mendapati markas perjudian terbabit dipercayai dibuka sejak beberapa hari lalu sebelum sambutan Tahun Baru Cina oleh seorang penduduk,” katanya.
Menurutnya, siasatan juga mendapati, ada antara mereka mengakui mahu berseronok sempena sambutan Tahun Baru Cina selain memberitahu rasa bosan tinggal di rumah.
Katanya, semua barang rampasan itu bersama kaki judi berkenaan dibawa ke Balai Polis Bera untuk siasatan mengikut Seksyen 7 (2) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Sumber myMetro
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan