Penderma Tak Dikenali Tawar AS$30 Juta Kepada Sesiapa Dedahkan Dalang Tragedi MH17
Tweet
LONDON: Seorang penderma yang tidak dikenali telah mendepositkan AS$30 juta (RM96.53 juta) ke akaun sebuah firma penyiasatan persendirian Jerman untuk ditawarkan kepada mana-mana pihak yang dapat mengemukakan bukti siapakah yang bertanggungjawab menembak jatuh pesawat Penerbangan Malaysia (MAS) MH17 pada 17 Julai lalu di ruang udara Timur Ukraine.
Ia adalah wang tawaran paling besar dalam sejarah dunia - mengatasi jumlah yang ditawarkan untuk menangkap Osama bin Laden.Tanggungjawab untuk memulakan penyiasatan persendirian itu diserahkan kepada Wifka, sebuah firma yang berpusat di Schleswig-Holstein di Utara Jerman.
Wifka dalam satu kenyataan yang disiarkan oleh sebuah media berbahasa Inggeris Jerman, The Local, menegaskan sejak kejadian pembunuhan itu yang mengorbankan 298 penumpang dan anak kapal, semua orang menyebut bahawa mangsa-mangsa itu memerlukan pembelaan dan sanak keluarga mereka serta masyarakat antarabangsa juga memerlukan jawapan siapakah yang sebenarnya bertanggungjawab menembak jatuh pesawat berkenaan.
Malangnya, kata Wifta, belum ada satu pun daripada persoalan ini dijawab walaupun siasatan ke atasnya sedang dijalankan oleh sebuah jawatankuasa antarabangsa.
Kini, tanggungjawab untuk mencari jawapan tersebut telah diserahkan kepada seorang pakar penyiasat persendirian yang berpengalaman selama 30 tahun dalam bidang ini iaitu Josef Resch.
"Setiap orang ada harganya. Ia hanyalah persoalan berapa banyak," kata Resch yang yakin tawaran AS$30 juta itu akan membuka mata mereka yang ada harga.
Resch juga mengesahkan yang dia telah pun menerima upah sebanyak Euro 40,000 untuk memulakan penyiasatannya dan dia tidak ragu-ragu akan menemui orang yang bersedia menerima wang sebanyak itu (AS$30 juta) untuk mendedahkan kebenaran di sebalik insiden itu.
Wifka menegaskan, sesiapa sahaja yang dapat mendedahkan - siapakah yang bertanggungjawab dan terlibat dalam menembak pesawat MH17 itu, siapa yang menyembunyikan kebenaran di sebalik kejadian itu dan apa yang telah terjadi kepada senjata yang digunakan untuk menembak jatuh MH17 - akan menerima hadiah wang tunai AS$30 juta yang ditawarkan itu.
Malah Wifta juga memberi jaminan bahawa orang yang mendedahkan semua kebenaran ini akan diberikan identiti baru sebagai langkah perlindungan.
Wang hadiah tersebut kini tersimpan di Zurich, tetapi Wifka sekali lagi menegaskan yang mereka tidak tahu siapakah penderma nya. Identitinya menjadi rahsia.
Satu-satunya maklumat yang mereka ada ialah, pihak yang menjadi orang tengah dalam rundingan ini bertutur dalam loghat Switzerland.
Jumlah tawaran AS$30 juta itu melebihi jumlah wang yang ditawarkan kepada sesiapa yang dapat mendedahkan maklumat sehingga tertangkapnya Osama bin Laden iaitu sebanyak AS$25 juta (RM80.45 juta).
Sumber mStar Online
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan