JPJ tidak bercadang beri diskaun saman
PUTRAJAYA 3 Dis. - Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) tidak bercadang mengikut langkah Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberi diskaun saman terhadap pesalah trafik buat masa ini.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Kong Cho Ha berkata, untuk tempoh sekarang saman yang dikeluarkan JPJ kepada pesalah trafiknya adalah kekal pada kadar sedia ada.
"Buat sementara ini, JPJ akan kekalkan sistem (saman) yang ada (terhadap pesalah lalu lintas)," kata beliau kepada pemberita selepas majlis perhimpunan bulanan kementeriannya, di sini hari ini.
Beliau diminta mengulas sama ada JPJ akan memberi diskaun saman terhadap pesalah lalu lintas, seperti yang dilakukan PDRM bagi menangani masalah saman tertunggak pada kalangan pengguna jalan raya di negara ini sejak sekian lama.
Beliau berkata, JPJ juga tidak bercadang melanjutkan tempoh menarik balik sementara tindakan terhadap pesalah trafik yang disenarai hitam, yang ditetapkan sehingga 28 Feb depan.
"Pada masa ini kita belum membuat sebarang keputusan untuk melanjutkan tempoh ini," katanya.
Pada Ogos lepas, kerajaan mengumumkan penarikan balik sementara tindakan ke atas pesalah trafik yang disenarai hitam kerana tidak menjelaskan saman dan membenarkan mereka memperbaharui cukai jalan serta lesen memandu. - Bernama
*** Tiada saman JPJ..