Sindiket penipuan ”Love Scam” di Melaka tumpas
Tweet
KUALA LUMPUR – Polis menumpaskan sindiket penipuan Internet atau “Love Scam”, yang terdiri daripada tujuh lelaki warga Afrika dan dua wanita Filipina, selepas seorang wanita warga Hong Kong kerugian hampir RM200,000 ditipu sindiket terbabit tahun lepas.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Syed Ismail Syed Azizan berkata, kesemua mereka berumur antara 25 dan 37 tahun ditahan dalam tiga serbuan berasingan di sebuah pangsapuri di Bukit Beruang, Melaka pada pukul 12.25 pagi ini.
Syed Ismail berkata, mangsa berumur 37 tahun dan menetap di Hong Kong itu berkenalan dengan seorang anggota suspek yang menyamar sebagai lelaki Inggeris melalui sebuah laman web sejak awal tahun lepas.
"Suspek berjanji untuk mengahwini mangsa dan menggunakan ayat-ayat manis dan cinta untuk memperdaya mangsa sebelum mangsa membuat transaksi pertama sebanyak AS$6,000 (RM18,467) pada Mac tahun lepas ke sebuah akaun bank tempatan milik warga tempatan,” katanya dalam sidang media di pejabatnya di sini hari ini.
Beliau berkata, mangsa hanya menyedari dirinya ditipu beberapa bulan selepas berkenalan dengan suspek sebelum membuat laporan polis melalui emel kepada JSJK Bukit Aman pada 27 Disember tahun lalu.
"Mangsa juga datang ke Malaysia semalam untuk memberi segala maklumat tentang suspek sebelum polis berjaya menahan kesemua suspek,” katanya. – BERNAMA
* Sumber kosmo!
0 Merujuk kepada perkara diatas :
Catat Ulasan